Pusat Latihan Kebangsaan dijangka siap Disember 2026

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kanan) menurunkan tandatangan pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5 hari ini. Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kanan) menurunkan tandatangan pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD bola sepak kebangsaan bakal mendapat infrastruktur latihan terbaik apabila Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya dijangka siap pada Disember 2026.

NTC bakal dibina di atas tapak seluas 5.2 hektar (12.85 ekar) dengan Fasa satu projek tersebut menggunakan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah kira-kira RM24 juta.

Fasa dua pula menggunakan peruntukan sejumlah RM45 juta daripada Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dengan pembinaan NTC ini ia secara tidak langsung menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

"Terima kasih sekali lagi kepada FIFA, terutama presidennya, Gianni Infantino atas sokongan penuh dan dana yang diberikan serta kepada Kerajaan Malaysia atas segala bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada FAM.

"Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya NTC ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23 kebangsaan.

"Saya juga berharap apabila ibu pejabat baharu FAM yang turut dibina di Putrajaya ini siap, ia akan dapat membangunkan modal insan yang mahir dari segi pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan.

"InsyaALLAH dalam masa beberapa tahun lagi, kita dapat melihat mercu tanda baharu bola sepak Malaysia di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan NTC yang telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Fasa 1 projek NTC ini yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan, RS Green Master (M) Sdn Bhd telah pun bermula pertengahan Jun 2024 merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial) yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

Ia dijangka siap pada Disember 2026, seterusnya boleh mula diguna pakai oleh pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat senior sehingga bawah umur serta wanita untuk kem latihan pusat menjelang mana-mana kejohanan atau perlawanan antarabangsa.

Fasa dua pula adalah peruntukan daripada KBS dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 dengan ia membabitkan pembinaan sebuah bangunan yang merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan (artificial) yang dibina pada fasa satu.

Kedua-dua Fasa 1 dan 2 ini akan berjalan dalam waktu yang sama yang mana Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027, sekali gus melengkapkan semua infrastruktur yang terdapat di NTC.

Menurut Hamidin, projek NTC ini juga merupakan manifestasi cetusan ilham bekas Presiden FAM, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang telah lama berhasrat untuk mewujudkan satu hab bola sepak di Putrajaya yang merangkumi pusat pentadbiran dan juga latihan.

"Ketika Almarhum Tuanku menggalas tugas sebagai Presiden FAM, baginda berhasrat mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia.

"Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Datuk Seri Dr Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

"Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!