Netizen tampil kreatif, guna AI 'cantikkan' pakaian rasmi kontinjen negara
TIDAK sampai 24 jam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melancarkan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, media sosial dibanjiri pelbagai kritikan warganet yang rasa tidak puas hati berhubung rekaan pakaian berkenaan.
Selain rekaan yang dianggap buruk, terdapat satu perkara yang mengundang kritikan pedas pengikut sukan tempatan iaitu melibatkan warna Jalur Gemilang.
Bendera Malaysia yang sepatutnya berwarna merah, putih, biru dan kuning ditukarkan kepada emas sepenuhnya.
Justeru tidak mengambil masa yang lama, netizen segera ‘mencantikkan’ pakaian rasmi itu mengikut kreativiti masing-masing.
Ternyata rekaan yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) lebih menarik dan mendapat pujian ekoran bersifat global dan lebih ‘garang’ berbanding rekaan asal.
Tidak kurang juga ada yang membandingkan rekaan pakaian kontinjen negara pada tahun 2012, 2016 dan 2020.
Menjengah ke ruangan komen di Facebook, ada yang berpandangan corak pakaian tersebut memalukan negara.
"Agak memalukan negara, sepatutnya buat pertandingan cipta rekaan, pasti ramai belia di negara kita yang pastinya berbakat besar," komen @Muhaimin.
"Macam baju budak sekolah. Sejak bila jalur bendera kita warna kuning? Seriuslah diluluskan? Sedihlah, buruk sangat. Ni Olimpik, bukan wakil sekolah,” komen @hana.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai reaksi membabitkan reka bentuk pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 yang diumumkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Ahad lalu.
Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak memutuskan reka bentuk pakaian rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris kerana ia adalah di bawah bidang kuasa MOM.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!