PAC cadang lima langkah tambah baik pantau hutang Felcra

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan lima langkah bagi menambah baik dan memantau hutang yang ditanggung Felcra Berhad (Felcra) termasuk 21 anak syarikatnya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Felcra perlu melihat kembali struktur dan operasi syarikat berdasarkan matlamat asal penubuhan serta obligasi sosial selain pembangunan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felcra perlu lebih bertanggungjawab dalam mengawal selia anak-anak syarikat supaya menjana keuntungan.

“Felcra perlu membina asas keupayaan sebelum menceburi apa-apa bidang yang selain perniagaan teras.

“KKDW perlu memastikan Felcra dan Felcra Properties merangka strategi menyeluruh termasuk jualan dan juga peluang perniagaan supaya pembayaran semula hutang kepada kerajaan dapat dilakukan serta memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.

“Selain itu, KKDW dan Felcra perlu melaporkan perkembangan terkini status pembayaran hutang kepada kerajaan serta pelaksanaan strategi terutama bagi Projek Semarak 2.0 kepada PAC setiap tiga bulan sebagai mekanisme pemantauan,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Rabu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun selepas disyaki terbabit dalam salah guna dan penyelewengan dana berkenaan, menjadikan keseluruhan tiga suspek ditahan berhubung isu itu.

Mengulas lanjut, menurut Mas Ermieyati, Felcra masih belum mencapai mandat sosial dan ekonomi peserta.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2021 Siri Kedua, mendapati syarikat subsidiari Felcra tidak membantu menjana pendapatan malah mendatangkan bebanan hutang bagi menanggung operasi perniagaan tersebut.

“Baki pinjaman Felcra dengan kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2021 berjumlah RM3.674 billon dan melalui Dewan Rakyat sudah bersetuju untuk menukar sebahagian hutang Felcra sebanyak RM969.27 juta yang menjadi hutang peserta kepada ekuiti kerajaan pusat.

“PAC dimaklumkan hutang Felcra Berhad dan anak-anak syarikat berjumlah RM1.532 bilion sudah distrukturkan dan dijadualkan semula untuk tempoh 35 tahun oleh pihak kerajaan melalui kelulusan Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2021.

"Pinjaman yang distrukturkan semula kini dibayar mengikut jadual yang ditetapkan di samping memberi ruang kepada Felcra Berhad menjalankan pengoperasian syarikat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!