Denda RM10 juta bawa masuk, proses e-waste haram

Nik Nazmi melihat komponen komputer ketika lawatan kerja dan operasi gempur kontena berisi bahan buangan terjadual, e-waste di Westport, Pelabuhan Klang pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Nik Nazmi melihat komponen komputer ketika lawatan kerja dan operasi gempur kontena berisi bahan buangan terjadual, e-waste di Westport, Pelabuhan Klang pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

PELABUHAN KLANG - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menguatkuasakan pindaan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bermula 7 Julai depan.

Ia bertujuan mengekang sebarang pengimportan, penyeludupan dan penempatan bahan buangan terjadual e-waste sama ada kegiatan di darat atau kemasukan ke dalam perairan negara mahupun transit tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menterinya, Nik Nazmi Nazmi Ahmad berkata, sekiranya aktiviti tersebut masih dijalankan, kompaun atau denda bakal dikenakan maksimum RM10 juta berbanding RM500,000 yang diguna pakai sebelum ini dan hukuman penjara beserta tindakan penalti.

Menurutnya, pindaan berkenaan sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan sedang dalam proses pewartaan.

“Ia adalah usaha kita untuk membendung masalah ini, sebab itu kita perlu langkah bersepadu daripada JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sedar ada premis e-waste yang beroperasi secara haram disebabkan banyak aduan diterima daripada masyarakat.

“Justeru, perkara ini akan dibawa ke Kabinet untuk diperhalusi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja dan operasi gempur kemasukan kontena e-waste di Westport pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Sinar Harian bertarikh 26 Jun mengenai operasi e-waste haram yang aktif di sekitar Lembah Klang dan Kuala Langat.

Artikel Berkaitan:

Nik Nazmi turut memaklumkan, sekadar mengenakan tindakan kompaun atau denda sememangnya tidak mencukupi untuk membendung permasalahan terbabit.

Bagaimanapun menurutnya lagi, satu pendekatan bersepadu melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

“Baru-baru ini, kita juga ada ke tempat pemprosesan e-waste di Klang, operasi pelbagai peringkat ini tidak melepasi Konvensyen Basel atau mendapat kelulusan JAS, jadi ia menimbulkan kesan negatif kepada alam sekitar.

“Kalau ada (operasi premis e-waste haram yang dikenal pasti), kita akan buat tindakan penguatkuasaan secara komited dan serius,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memberi amaran kepada 175 premis e-waste yang berdaftar dengan JAS akan ditamatkan lesen sekiranya dikesan terlibat dalam pengimportan bahan buangan itu secara haram.

“Setakat ini, kesemua mereka masih mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan juga tidak terlibat dalam mengimport e-waste dari luar negara,“ jelasnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!