AUG 2024: Farah Izzati beri emas pertama Malaysia
ATLET judo negara, Nur Farah Izzati Wallah menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 pada Rabu.
Atlet dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kelahiran Perak itu merangkul pingat berkenaan setelah menewaskan atlet Indonesia, Maryam March Maharani dalam acara Bawah 52 kilogram.
Kemenangan yang diraih Farah Izzati di Pusat Konvensyen Airlangga, Universitas Airlangga itu hadir setelah pesaing berusia 23 tahun berkenaan dibatalkan penyertaan.
Pengadil membatalkan penyertaan Maharani setelah pengadil mendapati atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu membawa masuk objek yang tidak dibenarkan ke dalam gelanggang semasa perlawanan akhir.
"Alhamdulillah emas pertama untuk saya pada penampilan pertama di AUG. Semasa perlawanan mungkin dia terlupa ada airpods dalam poket bajunya dan penyertaan dibatalkan kerana dianggap cuai.
"Sejujurnya saya memang takut sebelum perlawan namun saya tekad melakukan yang terbaik. Sekiranya penyertaan dia tidak dibatalkan saya juga akan buat bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan pada Rabu.
Kemenangan itu juga membolehkan Farrah Izzati menerima insentif pingat emas RM3,000 pada temasya AUG kali ini.
"Sebelum ke AUG 2024, kereta saya rosak semasa perjalanan ke tempat latihan, itu pun sudah separuh jalan. Jadi mungkin ada hikmahlah selama ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!