Imigresen Perak 'sapu' 47 warga asing

Sebahagian 47 warga asing yang ditahan imigresen ketika Ops Sapu di daerah Hulu Perak pada malam Selasa.
Sebahagian 47 warga asing yang ditahan imigresen ketika Ops Sapu di daerah Hulu Perak pada malam Selasa.
A
A
A

IPOH - Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak menahan 47 warga asing menerusi Ops Sapu yang dijalankan di daerah Hulu Perak pada malam Selasa.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi tersebut dilakukan sepasukan 26 pegawai dan anggota Bahagian Pengkuat Kuasa yang menjalankan pemeriksaan di sembilan premis kediaman dan satu penempatan haram di daerah berkenaan.

Menurutnya, serbuan itu dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak di 10 lokasi tersebut.

"Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 58 warga negara asing dengan seramai 40 lelaki dan tujuh wanita telah ditahan di lokasi yang berbeza kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua 47 warga asing yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 56 tahun. Ketika ini, mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Meor Hezbullah berkata, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah; Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada dalam Malaysia melebihi tempoh sah pas yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat membantu dengan membuat laporan atau aduan bagi membantu pihaknya membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Menurutnya, Jabatan Imigresen juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Meor Hezbullah memaklumkan pihaknya telah melaksanakan aktiviti pemindahan PATI ke negara asal pada Rabu dari Depot Imigresen Langkap.

Jelasnya, aktiviti pemindahan kali ini melibatkan seramai 61 orang pelbagai warganegara terdiri daripada 49 orang lelaki berumur 20 hingga 49 tahun, 11 orang wanita berusia 29 hingga 44 tahun dan seorang kanak kanak lelaki berumur tujuh bulan.

"Pemindahan PATI ke negara asal dilakukan melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selesai menjalani hukuman denda dan penjara.

"Mereka dikenakan hukuman kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan pemindahan ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama," katanya.

Sementara itu, kesemua PATI yang dipindahkan ke negara asal juga telah disenarai hitamkan bagi mencegah mereka kembali memasuki semula ke negara ini.

Jelasnya, program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membanteras PATI yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Langkap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!