NRES gempur 106 kontena seludup e-waste haram dari AS

A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggempur 106 kontena sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta skrap logam yang diseludup masuk secara haram melalui perairan negara dari Amerika Syarikat (AS).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, operasi itu dilaksanakan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan 301 kontena yang disyaki mengandungi e-waste dalam satu operasi bermula 21 Mac hingga 19 Jun lepas.

Menurut beliau, keuntungan bersih yang diperoleh daripada 106 kontena sisa haram tersebut dianggarkan sebanyak RM80,000 untuk setiap kontena dan RM8 juta secara keseluruhannya.

“Sindiket ini menggunakan dokumentasi palsu bagi mengimport sisa kononnya sebagai tujuan kitar semula dan didakwa menggunakan orang tengah atau syarikat untuk menguruskannya.

“Sehubungan itu, tindakan penahanan dan pemeriksaan bersepadu dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan.

“Bagi kontena yang melibatkan dagangan e-waste, kes masih lagi dalam siasatan JAS di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974,” katanya ketika sidang media lawatan kerja dan operasi gempur terbabit di Westport, di sini pada Rabu.

Nik Nazmi memaklumkan, kontena selebihnya masih dalam siasatan oleh JKDM mengikut kesalahan Seksyen 135 (1a) Akta Kastam 1967.

Ini kerana katanya, kontena berkenaan disyaki mengandungi skrap logam dan mengimport barang larangan di bawah butiran lima Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebarang pengimportan skrap logam wajib mengikut tatacara yang digariskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta mendapatkan sijil kelulusan (COA) daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) terlebih dahulu.

“NRES melalui JAS akan terus memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan bagi pengimportan e-waste yang digunakan oleh industri kitar semula.

“Tindakan akan diambil kepada pengimport, ejen penghantaran serta logistik mahupun pengangkutan kargo yang terlibat termasuklah menghantar balik kontena e-waste import ke negara asal selaras dengan Artikel 9 Konvensyen Basel.

“Saya ingin menegaskan bahawa dasar negara tidak membenarkan pengimportan e-waste haram atau salah laku dalam usaha memastikan negara tidak dijadikan tempat pelupusan buangan berbahaya,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!