Jururawat rugi lebih RM80,000 ditipu 'pegawai NSRC'

Mangsa diarah agar memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank yang diberi suspek sebelum membuat 12 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM 88,700.00 sebelum menyedari ditipu. - Gambar hiasan
Mangsa diarah agar memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank yang diberi suspek sebelum membuat 12 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM 88,700.00 sebelum menyedari ditipu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang jururawat mengalami kerugian lebih RM80,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan polis.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, wanita berusia 41 tahun itu termasuk perangkap sindiket selepas menerima panggilan 'pegawai NSRC' pertengahan Jun lalu.

Menurutnya, suspek memperdayakan mangsa melalui panggilan yang mendakwa akaun banknya dalam siasatan pihak polis kerana disyaki digunakan sindiket.

"Mangsa seterusnya dirujuk kepada seorang 'pegawai polis' melalui sambungan talian untuk proses siasatan.

"Suspek cuba menakutkan mangsa dengan dakwaan wanita itu turut tersenarai sebagai individu dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Noor Hisam berkata, suspek memancing mangsa dengan menawarkan bantuan bagi menyelesaikan kes terbabit.

"Mangsa diarah agar memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank yang diberi suspek. Disebabkan panik dan bimbang dikenakan tindakan, mangsa akur dengan arahan itu apabila membuat 12 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM 88,700.00 sebelum menyedari ditipu.

"Sumber kewangan untuk transaksi bayaran itu menggunakan wang simpanan mangsa sendiri," katanya.

Sementara itu, Noor Hisam dinasihatkan orang ramai agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan terhadap nombor akaun dan nombor telefon meragukan yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!