Malaysia catat aliran masuk FDI RM40.4 bilion, DIA RM40.6 bilion pada 2023

Malaysia merekodkan aliran masuk bersih FDI sebanyak RM40.4 bilion pada 2023 berbanding RM75.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini. Foto hiasan
Malaysia merekodkan aliran masuk bersih FDI sebanyak RM40.4 bilion pada 2023 berbanding RM75.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini. Foto hiasan
A
A
A

MALAYSIA merekodkan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM40.4 bilion pada 2023 berbanding RM75.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan dalam aliran masuk bersih FDI terutamanya dalam saham dana ekuiti serta pelaburan, mencerminkan kelembapan ekonomi global.

"Ini sejajar dengan laporan Pemantau Trend Pelaburan Global 2024 United Nations Trade and Development (UNCTAD) yang menekankan bahawa aliran masuk FDI ke negara membangun telah merosot kira-kira sembilan peratus kepada hanya AS$841 bilion (AS$1= RM4.7065) pada 2023.

"Khususnya, FDI ke negara membangun Asia turun sekitar 12 peratus kepada AS$584 bilion, dengan FDI ASEAN berkurangan kira-kira 16 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, nilai terkumpul pelaburan asing, dikenali sebagai kedudukan FDI, meningkat kepada RM926.0 bilion pada penghujung 2023, membentuk 50.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding 49.0 peratus pada 2022, terutamanya yang berkaitan dengan kategori bukan transaksi.

Secara purata, pulangan pelaburan (ROI) bagi syarikat-syarikat FDI pada 2023 turun kepada 10 sen bagi setiap RM1.00 pelaburan daripada 12 sen pada tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, syarikat Malaysia menerima enam sen bagi setiap RM1.00 pelaburan yang dibuat di luar negara, tambahnya.

Mengenai pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA), DoSM memberitahu aliran keluar bersih mengecil kepada RM40.6 bilion pada 2023 berbanding RM62.8 bilion yang disaksikan dalam tahun sebelumnya, disumbangkan oleh sektor perkhidmatan dengan nilai RM34.5 bilion, terutamanya dalam aktiviti kewangan dan insurans/takaful, serta utiliti.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama DIA dengan mendaftarkan jumlah terkumpul sebanyak RM461.1 bilion pada 2023, diikuti perlombongan dan kuari (RM80.5 bilion) serta pembuatan (RM60.0 bilion).

"Sektor perkhidmatan juga menjana pendapatan tertinggi iaitu RM23.9 bilion pada 2023," tambahnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!