MFL buka ruang Selangor kemuka rayuan

Stuart Ramalingam. Foto Bernama
Stuart Ramalingam. Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC boleh mengemukakan rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekiranya tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan selepas tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, skuad Gergasi Merah itu dibenarkan mengemukakan rayuan tersebut dalam tempoh empat hari selepas hukuman dikeluarkan pada Selasa.

"Ahli lembaga pengarah MFL telah bermesyuarat dan mengemukakan empat keputusan yang telah diambil terhadap pasukan Selangor.

"Itu adalah pertimbangan daripada ahli lembaga pengarah mengenai butiran dalam kes. Sebagaimana semua rakan media tahu, perkara ini masih dalam proses perundangan dan pasukan Selangor mempunyai satu akses kepada proses rayuan," katanya.

Sebelum ini, MFL telah menjatuhkan empat hukuman kepada Selangor iaitu didenda RM100,000, pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kemudian.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor dalam satu kenyataan selepas hukuman tersebut dikeluarkan sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya.

Menurut Stuart, beberapa hukuman yang telah dikenakan kepada pasukan itu boleh dipertimbangkan semula oleh badan rayuan berdasarkan dokumen rayuan yang dikemukakan oleh Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Daripada empat rayuan tersebut badan rayuan akan teliti proses keputusan dibuat. Jika perlu, satu atau dua perkara boleh dipertimbangkan semula oleh badan rayuan.

"Prosesnya pasukan ada tiga atau empat hari untuk kemuka surat rayuan, selepas itu badan rayuan akan melihat dokumen dan akan bersidang dalam tiga atau empat minggu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!