MBI nilai semula hartanah

Rumaizi (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengiklanan Pakej Promosi Maklumat Produk dan Tempat Pelancongan Menarik di Bandar raya Ipoh Melalui ETS di Stesen Kereta Api Ipoh di sini.
Rumaizi (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengiklanan Pakej Promosi Maklumat Produk dan Tempat Pelancongan Menarik di Bandar raya Ipoh Melalui ETS di Stesen Kereta Api Ipoh di sini.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah melaksanakan penilaian semula hartanah di bandar raya itu mengikut kategori hartanah yang kali terakhir dibuat pada tahun 1981.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bagaimanapun kadar cukai taksiran masih kekal pada 16 peratus, namun kenaikan jumlah bayaran berlaku disebabkan penilaian semula hartanah yang dibuat.

Menurutnya, jumlah kenaikan bayaran itu ditetapkan tidak melebihi 30 peratus dan ia akan dilaksanakan menerusi kaedah 'capping'

"Kita kekalkan 16 peratus (kadar cukai taksiran) dahulu, tetapi kita buat penilaian dan guna konsep capping. Capping ini mungkin tidak boleh dilaksanakan peningkatan maksimum sebanyak 30 peratus sekali gus.

"Cuma kita syorkan kepada kerajaan negeri sebanyak 30 peratus. Sebab kita kena faham, kali terakhir penilaian dibuat pada 1981, di Ipoh ini. Sekarang ini tahun 2024, jadi sudah 43 tahun (tidak dinilai). Jadi, mungkin nilai itu akan naik mendadak," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengiklanan Pakej Promosi Maklumat Produk dan Tempat Pelancongan Menarik di Bandaraya Ipoh Melalui Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) di Stesen Kereta Api Ipoh di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Zain Mat Taha.

Sementara itu, Rumaizi menjelaskan pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk meningkatkan kadar cukai taksiran di Bandaraya Ipoh dan ia akan dilaksanakan mengikut kategori hartanah dan bukan semua kategori berlaku peningkatan.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin (kadar cukai taksiran) rumah tidak naik tetapi mungkin diturunkan lebih rendah. Hartanah perniagaan pula ada kadar tertentu manakala hartanah perkilangan mungkin ada satu kadar lain.

"Tapi apa berlaku yang keadaan ini berkaitan dengan penilaian semula hartanah. Itu yang kita buat sekarang ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata, pengiklanan yang dibuat melalui ETS itu merupakan inisiatif terbaharu yang dilaksanakan MBI dengan kerjasama KTMB.

Katanya, ia bertujuan untuk mempromosikan pelbagai produk dan tempat pelancongan menarik di bandar raya ini melalui aktiviti serta program yang dirancang untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!