Berniaga di laluan pejalan kaki: Pindah atau lesen dibatalkan

DBKL menerima aduan isu halangan kesan aktiviti penjaja berniaga atas laluan pejalan kaki di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields dan Jalan Sepadu, Taman United.
DBKL menerima aduan isu halangan kesan aktiviti penjaja berniaga atas laluan pejalan kaki di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields dan Jalan Sepadu, Taman United.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memindahkan penjaja yang menjalankan perniagaan di atas siar kaki sepanjang Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields disebabkan isu halangan.

DBKL berkata, bancian oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) mendapati terdapat lima penjaja yang menjalankan aktiviti berkenaan di lokasi tersebut.

Menurutnya, kesemua mereka mempunyai lesen yang sah iaitu di bawah Lesen Sementara KL Madani dan Lesen Penjaja Statik (gerai tepi jalan) bagi menjalankan aktiviti penjajaan.

"Bagi kesemua penjaja ini, DBKL akan membuat penyusunan semula penjaja tersebut ke lokasi yang bersesuaian atau dipindahkan ke pusat penjaja seliaan DBKL.

"Selain itu, DBKL pada April lalu telah membuat tindakan sitaan terhadap dua penjaja warga asing di kawasan tersebut.

"Sebanyak enam notis kesalahan kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan halangan dan dan Seksyen 20(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 bagi kesalahan saiz gerai melebihi saiz yang dilesenkan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, pada 4 Jun lalu, pihaknya juga telah menerima aduan aktiviti perniagaan di atas siar kaki sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di Jalan Sepadu, Taman United.

"Didapati terdapat lima penjaja yang aktif beroperasi dengan pecahan dua penjaja mempunyai lesen premis, satu penjaja mempunyai Lesen Waktu Terhad dan dua penjaja tidak memiliki lesen.

Artikel Berkaitan:

"Semasa siasatan dijalankan, DBKL turut mengeluarkan tiga notis kesalahan /kompaun di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan halangan dan dua notis kompaun di bawah 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 iaitu kesalahan menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, " katanya.

DBKL berkata, pemantauan susulan yang dijalankan pada 21 Jun lalu mendapati satu penjaja telah mengosongkan tapak dan tiada sebarang barangan peralatan perniagaan ditinggalkan di lokasi tersebut.

"Bagi baki penjaja yang masih aktif berniaga, pihak DBKL dalam proses untuk membatalkan lesen penjaja-penjaja berkenaan kerana telah melanggar syarat lesen yang ditetapkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!