'Kamu bukan akauntan tapi penjenayah' - Hakim

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] “Mencederakan pembantu rumah hanya kerana dia lembab, bukan perbuatan seorang akauntan tetapi penjenayah,” tegas Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Zulqarnain Hassan.

Teguran itu diberikan sebelum menjatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM12,000 kepada seorang ibu kepada tiga anak kembar, pada Rabu.

R Vigneswary, 34, dikenakan hukuman itu selepas mahkamah mendapati peguam bela yang mewakilinya, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Wanita yang dituduh atas enam pertuduhan eksploitasi dan mencederakan pembantu rumahnya, Rosmalina, 55, pada tiga tahun lalu, turut diperintah membayar pampasan sebanyak RM55,000, kepada mangsa.

Ketika membaca keputusan ringkas, hakim ini berkata, undang-undang jelas menggambarkan, tindakan mengeksploitasi pembantu rumah tanpa memberi gaji, merupakan jenayah yang serius serta dilakukan seorang penjenayah.

Apatah lagi katanya, mencederakan pembantu rumah warga Indonesia itu, menggunakan sudu besi panas, telah meninggalkan kesan yang kekal, baik dari segi fizikal mahu pun mental.

Beliau berkata, jelas terdapat kecederaan akibat pukulan yang dilakukan secara kerap dan paling parah ialah di peha, menggunakan sudu panas.

Katanya, tertuduh merupakan seorang wanita malah lebih muda daripada mangsa yang sudah melepasi usia setengah abad.

Artikel Berkaitan:

“Kamu sepatutnya melayan mangsa sama seperti seorang ibu dan menghormati orang yang lebih tua.

“Pembantu rumah merupakan seorang insan, bukannya ‘punching bag’ untuk melepaskan geram atau dihukum.

“Mangsa yang bekerja di rumah tertuduh selama tujuh bulan, selain tidak dibayar gaji malah dicederakan, merupakan perbuatan seorang penjenayah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperdagangkan Rosmalina yang bukan merupakan seorang kanak kanak bagi maksud eksploitasi kerja paksa, menggunakan kekerasan, di rumah tertuduh, di Seksyen U13, di sini antara Febuari hingga 17 Mei 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13(b) Akta Anti Permedagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun, dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, dia didakwa sengaja mendatangkan kesakitan dan kecederaan di kedua-dua telinga, leher, kepala, pinggul dan peha mangsa, di lokasi sama, pada bulan Februari hingga Mei 2021.

Pertuduhan bagi setiap kes dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kes pindaan keenam, dia didakwa sengaja mendatangkan kesakitan dan kecederaan, menggunakan benda hangat iaitu sudu besi panas di betis kaki kanan mangsa, di lokasi serupa, pada April 2021.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, dia dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan dikehendaki membayar pampasan RM55,000 kepada mangsa dalam masa enam bulan, bermula tarikh jatuh hukum.

Bagi setiap kes kedua hingga kelima, dia dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sementara hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,000 atau tambahan jel 10 bulan, jika gagal membayar denda dikenakan terhadap wanita itu bagi pertuduhan keenam.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak, menjadikan jumlah keseluruhan ialah selama sembilan tahun.

Semasa prosiding, peguam, Tham Weng Kin yang mewakili tertuduh, merayu hukuman pemenjaraan ditangguhkan sementara menunggu rayuan bagi keputusan berkenaan, di Mahkamah Tinggi.

“Anak guam mempunyai masalah kesihatan selain menjadi penanggung tunggal selepas suaminya tidak lagi bekerja,” katanya yang turut hadir bersama seorang lagi peguam, Ayasamy Venu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Edna Lau Chia Xin membantah permohonan berkenaan kerana tertuduh boleh menerima rawatan ketika menjalani hukuman di penjara.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan dan mengekalkan jumlah ikat jamin terdahulu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!