Kes buli: Tujuh pelajar diambil keterangan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Seramai tujuh individu telah diambil keterangan berhubung kes buli melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, ketujuh-tujuh pelajar berusia 13 dan 15 tahun itu merupakan mereka yang berada di lokasi kejadian.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Percakapan individu terlibat telah dirakam, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

"Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan pertuduhan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dibuli oleh dua pelajar seniornya selepas menerima laporan pada Selasa.

Mangsa dibuli oleh dua pelajar perempuan yang berusia 15 tahun di sekolah sama pada 14 Jun lalu kerana cemburu apabila mangsa dikatakan rapat dengan teman lelaki salah seorang suspek.

Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 21 saat memaparkan mangsa ditampar dua pelajar lain dalam tandas sebuah sekolah telah mencetus kemarahan warganet.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!