KOM belum putuskan atlet ke Olimpik Paris

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi (kiri), dan pelari 400 meter wanita, Shereen Samson Vallabouy (kanan), yang menamatkan saingan di Kejohanan Terbuka Kazakhstan di Almaty dengan satu pingat emas dan satu pingat gangsa. Foto Bernama
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi (kiri), dan pelari 400 meter wanita, Shereen Samson Vallabouy (kanan), yang menamatkan saingan di Kejohanan Terbuka Kazakhstan di Almaty dengan satu pingat emas dan satu pingat gangsa. Foto Bernama
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) hari ini menegaskan badan induk itu belum memutuskan antara dua permata negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi atau Shereen Samson Vallabouy untuk mengisi slot wild card menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula Julai ini.

Kenyataan itu dikeluarkan KOM menerusi Facebook rasminya bagi membidas ciapan pengguna X menggunakan nama @AtletMalaysia yang menyatakan Muhammad Azeem dipilih untuk slot universal ke temasya empat tahun sekali itu.

"Jangan cuba mengelirukan peminat sukan olahraga Malaysia. Belum ada keputusan rasmi dari pihak KOM," menurut Facebook rasmi KOM pada Rabu.

Sebagai rekod, hanya seorang daripada dua atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu akan meraih debut Olimpik di Paris 2024 menerusi tiket wild card yang bakal diputuskan KOM selepas usaha kedua-dua atlet itu melayakkan diri secara merit tidak berjaya.

Ia selepas usaha Muhammad Azeem untuk melayakkan diri secara merit dalam acara 100 meter (m) dan Shereen bagi acara 400m dengan mencipta masa di bawah had kelayakan menemui jalan buntu.

KOM dijangka perlu menyerahkan nama atlet yang menjadi pilihan mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selewat-lewatnya pada awal bulan depan.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai sehingga 11 Ogos. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!