"Tak pernah nampak dua beranak bergaduh" - Jiran

Polis sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian
Polis sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian
A
A
A

JEMPOL - Wanita warga emas yang maut selepas bergaduh dengan anak lelakinya yang merupakan pesakit mental dalam kejadian di Bahau dekat sini pada Selasa disifatkan jiran sebagai seorang yang peramah dan disenangi.

Malah mereka mendakwa tidak pernah melihat dua beranak itu bergaduh sebelum ini sehinggalah digemparkan dengan tragedi menyayat hati berkenaan.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas melihat kehadiran polis di rumah wanita terbabit yang ditemui tidak sedarkan diri di laman rumah.

"Saya difahamkan mereka bergaduh tetapi tidak tahulah permulaannya macam mana dan anaknya itu juga ada di lokasi, tidak melarikan diri sebaik polis datang.

"Inilah kejadian pertama seumpamanya sepanjang lebih 20 tahun saya tinggal di perumahan ini dan ia sangat mengejutkan kami," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 63 tahun mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

"Simati tinggal di rumah tersebut bersama suami dan dua anak termasuk suspek yang berusia 33 tahun manakala dua lagi anaknya tinggal berasingan dan bekerja di Singapura.

"Suspek anak sulung dan merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental. Dia kini direman tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa dan suspek dipercayai bertengkar dan berlaku pergelutan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan disebabkan senjata tajam dan punca kematian masih dalam siasatan polis.

Sementara itu, Chang Hook berkata, pihaknya masih menunggu keputusan laporan bedah siasat terhadap mangsa yang dilakukan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!