[VIDEO] Sultan Selangor amat murka keputusan MFL, FAM

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat murka dengan keputusan terbaharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung susulan penarikan diri pasukan Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Sultan Selangor bertitah, baginda terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 serta berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor selain menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor.

"Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku," titah baginda dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sultan Sharafuddin menegaskan, hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

Sultan Selangor
Sultan Selangor

"Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga beta bersara pada tahun 1990 dan dalam tempoh itu belum pernah beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

"Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.

"Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Titah Sultan Selangor, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei lalu.

Baginda bertitah, beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu sama.

"Disebabkan itu, beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

"Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan," titah Sultan Sharafuddin.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin meluahkan rasa pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu berkenaan.

"Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.

"Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS, namun jika beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu," tegas baginda.

Justeru Sultan Selangor mengingatkan bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan tinggi.

Jelas baginda, tindakan melampau MFL tidak melambangkan semangat kesukanan dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

"Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati," titah baginda.

Terdahulu, MFL dalam kenyataan memaklumkan SFC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan ketidakhadiran pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Skuad Merah Kuning juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden bintangnya, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!