Perlukah saudara baru bayar zakat pendapatan?

A
A
A

"HALIM, perlukah aku membayar zakat pendapatan sepanjang 10 tahun aku bekerja?"

Demikian pertanyaan Muhammad Ali Suresh Abdullah (bukan nama sebenar) yang baru memeluk Islam pada awal tahun ini kepada teman sepejabatnya, Halim Mohamad (bukan nama sebenar).

Pertanyaan itu membuatkan Halim terkaku seketika.

Beliau kurang pasti dengan jawapan kepada persoalan berkenaan.

Lantas, pertanyaan itu diajukan kepada agamawan yang lebih arif untuk merungkaikannya.

Dalam perihal zakat, ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima sepertimana Firman ALLAH SWT: “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat...” (Surah al-Baqarah, ayat 110)

Syarat wajib zakat bagi individu ialah Islam, merdeka dan tidak disyaratkan baligh serta berakal yang mana zakat itu boleh dikeluarkan oleh walinya.

Sementara itu, syarat bagi zakat harta pula adalah milik sempurna, cukup nisab, cukup haul dan harta berkembang.

Artikel Berkaitan:

Adapun, bagi individu yang baru memeluk Islam, maka tidak perlu mengeluarkan zakat waktu sebelum keislamannya.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu’: "Tidak wajib zakat kepada kafir sama ada harbi atau zimmi pada waktu kafirnya, adapun jika dia memeluk Islam juga tidak diwajibkan mengeluarkan zakat pada waktu sebelum Islamnya."

Ia diperkuatkan dengan dalil daripada hadis Nabi Muhammad SAW riwayat al-Bukhari ketika mengutus Saidina Muaz ke Yemen supaya berdakwah akidah, kemudian solat dan menunaikan zakat.

Ini menunjukkan, syarat zakat ialah Islam terlebih dahulu dan tiada riwayat Nabi Muhammad SAW mewajibkan zakat kepada orang bukan Islam.

Justeru, kepada saudara baru yang memeluk Islam, tidak diwajibkan membayar zakat sebelum keislamannya.

Kewajipannya untuk membayar zakat bermula selepas mereka memeluk Islam berdasarkan syarat-syarat di atas.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!