Guna dokumen palsu kursus MyIPO, pengarah syarikat didenda RM12,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pengarah syarikat latihan sistem teknologi maklumat menggunakan dokumen palsu berhubung kursus penyelenggaraan portal dan aplikasi Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) tahun lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Shaharuddin Ahmad, 45, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

Semasa prosiding, hakim ini berkata, tertuduh sebagai ketua keluarga, sepatutnya menjadi contoh kepada empat anaknya.

“Walaupun kesempitan wang, ini bukan jalan untuk menyelesaikan masalah, maka mahkamah memberi peluang terakhir kepada kamu dengan tidak mengenakan hukuman penjara.

“Oleh itu, mahkamah mengenakan hukuman denda RM12,000 atau penjara 30 hari sekiranya gagal bayar denda,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan seorang pegawai Sistem Maklumat MyIPO dengan menggunakan dokumen palsu iaitu invois dan dokumen pengesahan perkhidmatan untuk ‘Kursus Full PHP with MySQL’.

Ia bertarikh 12 hingga 14 Disember 2022 atas nama syarikat Perusahaan Favourite Trainer Sdn Bhd, bagi tiga individu berjumlah RM 4,500.

Tertuduh sebagai pemilik syarikat itu melakukan kesalahan berkenaan di bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat MyIPO pada 15 Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 465 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada November 2022, tertuduh dihubungi seorang lagi Pegawai Sistem Maklumat, Mohd Nizam Abdul Rahman bagi menyediakan satu sebut harga berkaitan kerja perkhidmatan ‘Kursus Full PHP with MySQL’ dan tertuduh telah menghantar sebut harga tersebut melalui e-mel.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menggunakan suatu dokumen iaitu invois dan dokumen pengesahan perkhidmatan untuk kursus tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh mengetahui hanya seorang sahaja yang hadir pada kursus tersebut manakala dua lagi penama tidak mengetahui tentang kursus itu serta tidak menandatangani kehadiran.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, di hadapan Hakim, Suzana Hussin, tertuduh, Mohd Nizam, 48, didenda RM12,000 atau penjara sebulan terhadap selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan, bersubahat dengan Shaharuddin atas kesalahan sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala dua lelaki terbabit tidak diwakili peguam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!