Dua penjenayah maut selepas berbalas tembakan

Hamzah (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
Hamzah (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
A
A
A

GEORGE TOWN - Hasrat dua penjenayah untuk melakukan jenayah terbantut apabila mereka ditembak mati sepasukan polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Pokok Sena/Permatang Baru, Sungai Dua di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian pada jam 2.05 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah terserempak dengan sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis kemudiannya mengarahkan kereta terbabit berhenti untuk pemeriksaan, namun pemandu terus memecut kenderaannya.

"Ketika memecut kenderaannya, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang dinaiki polis. Polis terus mengejar suspek sejauh dua kilometer sebelum kereta suspek terbabas.

"Ketika polis turun membuat pemeriksaan, suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan. Bagi tujuan mempertahankan diri, polis turut melepaskan beberapa das tembakan," katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Hamzah berkata, selepas keadaan reda, pemeriksaan mendapati kedua-dua penjenayah tersebut telah meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Kedua-dua penjenayah maut di lokasi kejadian selepas berbalas tembakan dengan polis.
Kedua-dua penjenayah maut di lokasi kejadian selepas berbalas tembakan dengan polis.

"Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan warga tempatan berusia 41 dan 51 tahun. Kedua-dua mempunyai 12 dan 14 rekod jenayah dan dadah. Kita turut menjumpai dua pucuk pistol jenis Glock dan SW.38 dan 176 butir peluru di lokasi kejadian

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mereka adalah rakan jenayah. Kita percaya, mereka sedang dalam perjalanan untuk melakukan kegiatan jenayah sama ada rompakan atau mengedar dadah," katanya.

Tambah beliau, polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek merupakan ahli kongsi gelap atau hanya bergerak berdua sahaja.

"Kita mengesyaki senjata api yang digunakan itu diperoleh dari negara jiran. Sementara itu, kereta berkenaan dipercayai kereta curi yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki beralamat di Terengganu.

"Cukai jalan kereta itu telah tamat tempoh pada Disember 2021. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!