Harta: Amanah bukan fitnah
Gagal faham, urus harta pusaka dengan baik boleh terjerumus ke lembah binasa
HAMPIR setiap hari, kes pergaduhan mengenai perebutan harta pusaka sehingga kadangkala membawa kepada terjadinya pertumpahan darah malah lebih teruk lagi kematian diceritakan.
Sebut sahaja mengenai harta, siapa yang mahu menolaknya? Walau sudah bergelar hartawan sekali pun, harta pusaka tersebut tetap dikehendaki dan apa yang lebih parah ialah mahu dibolot semua tanpa dibahagikan kepada orang lain yang berhak.
Itulah penangan harta pusaka dan perkara tersebut dipersetujui Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah dan Pemasaran, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Bukhari Safian.
Menurutnya, beliau juga setiap hari menerima aduan mengenai pembahagian harta pusaka yang tidak adil serta tidak mengikut garis panduan Islam.
“Disebabkan harta pusaka kita boleh bergaduh. Ia berlaku kerana kita tidak faham fungsi harta itu sebagai amanah.
“Dalam Islam, harta amat dititikberatkan namun ramai yang ambil mudah mengenainya. Oleh sebab itu salah satu daripada maqasid syariah atau tujuan syariat itu adalah untuk menjaga harta,” katanya dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus yang dibawakan khas oleh MAINS.
Ujarnya, ramai beranggapan harta adalah kereta, tanah dan kebun namun makna harta dalam Islam adalah lebih besar daripada itu iaitu semua pemilikan kita adalah harta termasuk pakaian, pinggang mangkuk dan sebagainya.
“Bahkan dalam haji wada’, Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya menganggap harta umat Islam itu adalah satu amanah. Nabi mengingatkan agar mengembalikan harta yang diamanahkan kepada yang berhak dan jangan menyakiti sesiapa pun,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ALLAH SWT juga menerangkan dengan panjang lebar mengenai harta terutamanya pewarisan harta pusaka berbanding solat di dalam al-Quran.
“ALLAH memerintahkan kita solat dan disebut sebanyak 35 kali mengenainya di dalam al-Quran namun ALLAH tidak menceritakan dengan terperinci cara-cara solat dan bilangan rakaatnya. Perkara itu dihuraikan dengan terperinci dalam hadis Rasulullah SAW.
“Namun melalui ayat 11, 12 dan 176 surah an-Nisa’, ALLAH menceritakan dengan terperinci mengenai pengurusan harta dan kalau tidak diuruskan dengan betul akan membawa ke lembah yang binasa,” hurainya.
Tambahnya, melalui surah al-Anfal dan surah at-Taghabun pula ALLAH menjelaskan harta boleh menjadi fitnah dan ujian kepada pemiliknya.
“Fitnah di sini bukan bermaksud fitnah yang biasanya kita faham iaitu tuduhan, tapi ia bermaksud perkara-perkara yang membawa kepada kemungkaran,” katanya.
Tidak nampak haram, azab ALLAH
Mengulas mengenai konsep pemilikan harta dalam Islam dan konvensional, Ustaz Bukhari menjelaskan, perbezaannya adalah sempadan halal dan haram.
“Masyarakat kita umumnya memandang halal dan haram ini dalam bab makanan sahaja namun gagal melihatnya dalam sudut muamalat termasuk dalam bab harta dan pusaka ini.
“Dalam bab harta pusaka inilah ramai yang bergaduh kerana kita tak nampak sempadan halal dan haram mengenainya sebagai contoh menghalau orang yang berhak dari tanahnya,” hurainya.
Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan kepada umatnya mengenai azab yang akan ditimpakan terhadap orang yang menzalimi hak orang lain dalam satu hadis, katanya lagi.
“Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, ALLAH akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tambahnya lagi, Nabi Muhammad SAW juga bersabda: "Pasti akan datang suatu zaman manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
“Perkara ini benar-benar berlaku sekarang dan inilah yang dikatakan harta boleh menjadi fitnah (yang membawa kepada kemungkaran) dan jika tidak diuruskan dengan betul, kita akan dicampakkan ke dalam neraka,” katanya.
Perlu cakna pengurusan harta selepas mati
Mengulas mengenai harta yang ditinggalkan oleh seseorang selepas mati, Ustaz Bukhari menjelaskan harta tersebut wajib dilakukan faraid walaupun dalam kuantiti yang sedikit.
“Mulai hari ini, kita perlu ambil tahu mengenai pengurusan harta pusaka. Ini kerana sekiranya diberi umur yang panjang, kita pasti akan melaluinya selepas pemergian orang terdekat,” katanya.
Ujarnya lagi, sekiranya kita dan ahli keluarga tidak mengambil berat mengenai pengurusan harta pusaka ini, pergaduhan akan terus berlaku dan lebih menyedihkan harta umat Islam akan terus dibekukan.
“Sehingga kini begitu banyak harta dibekukan di dalam negara atas pelbagai sebab dan apa yang sedihnya adalah kira-kira 90 peratus harta tersebut adalah hak milik orang Islam yang tidak dapat digunakan untuk manfaat semua.
Bagi membantu orang ramai menguruskan harta, MAINS menawarkan perkhidmatan pengurusan harta hibah, wasiat dan faraid khusus kepada rakyat Negeri Sembilan dengan caj perkhidmatan RM300 sekali seumur hidup.
Perincian berkaitan dengan perkhidmatan tersebut boleh didapati dalam laman web rasmi MAINS di www.mains.gov.my atau hubungi talian 013-774 3662 untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!