PRK Sungai Bakap: Jentera Wanita PH bersedia menangkan Dr Joohari

Fadhlina ketika meninjau Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Fadhlina ketika meninjau Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Pulau Pinang.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Jentera Wanita Pakatan Harapan (PH) yang turut terlibat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, sentiasa bersedia memastikan kemenangan calon mereka.

Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek berkata, tahap kesiapsiagaan jentera wanita ketika ini berada dalam keadaan paling bersedia dalam memberikan sokongan padu serta bersedia turun padang untuk berkempen.

"Saya meninjau ke Pusat Daerah Mengundi dan melihat kesatuan gerak kerja jentera PH-BN selain penerimaan rakyat terhadap kempen yang dilaksanakan Calon Perpaduan sangat positif dan baik.

"Mudah-mudahan dengan segala inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, rakyat memilih seorang wakil rakyat yang mewakili kerajaan," katanya ketika meninjau Pusat Media PRK DUN Sungai Bakap di sini pada Selasa.

Jelasnya, calon perpaduan, Dr Joohari Ariffin mempunyai peluang cerah untuk menang dan merupakan calon terbaik yang diketengahkan.

Tambahnya, Mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu sudah tentu mempunyai kredibiliti dan berwibawa.

"Ia memberi jaminan kepada rakyat Sungai Bakap bahawa calon ini mempunyai kepakaran dalam pendidikan, berpengalaman luas dalam organisasi...jaminan itu telah menunjukkan kualiti dan apa yang telah ditawarkan beliau kepada rakyat khususnya dari segi infrastruktur dan penyelesaian isu setempat, menjadi satu kelebihan," katanya.

Beliau berkata, memasuki hari kelima berkempen, jentera wanita akan terus bekerja keras untuk menangkan calon PH di PRK Sungai Bakap.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertandingan dua penjuru PRK DUN Sungai Bakap, Joohari bakal berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang merupakan bekas Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff (Pas) pada 24 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!