Task force pengurusan pokok berisiko Kuala Lumpur ditubuhkan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu task force pengurusan pokok berisiko di Kuala Lumpur telah ditubuhkan susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang pertama telah diadakan pada Selasa menandakan penubuhannya secara rasmi.

Menurutnya, task force berkenaan diwujudkan bertujuan menghimpunkan aspek penyelidikan, pengetahuan, aplikasi teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di bandar raya Kuala Lumpur.

"Selain DBKL selaku peneraju, mesyuarat ini turut melibatkan beberapa kluster keanggotaan termasuk para akademik daripada Universiti Putra Malaysia, Institut of Lanscape Architecs Malaysia (ILAM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

"Badan profesional seperti Persatuan Arboris Malaysia dan beberapa agensi Kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur turut dilibatkan.

"Keanggotaan juga akan turut diperluaskan kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) aktivis alam sekitar," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, perkongsian ilmu dan maklumat daripada keanggotaan tersebut diharapkan dapat menghasilkan satu garis panduan lebih komprehensif serta mengambil amalan terbaik dari negara-negara lain dalam penyelenggaraan dan pengurusan pokok teduhan di Kuala Lumpur.

"Ia juga dapat membantu dalam perkongsian data bagi menambah baik sistem pemetaan e-pokok sedia ada di DBKL dalam merekodkan data inventori pokok, daftar pokok berusia, penanaman pokok baru dan kerja-kerja penyelenggaraan pokok dan kini telah pun merekodkan sebanyak 236,551 batang pokok-pokok yang ditanam di seluruh Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan task force ini juga meneroka konsep 'pokok angkat' dan potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan whole-of-nation bagi meningkatkan kompetensi landskap hijau," katanya.

Tambah beliau, task force tersebut juga perlu meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman 1 Juta Pokok di Kuala Lumpur serta perhatian kepada faktor seperti spesis pokok, ruang penanaman pokok dan kedalaman akar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!