Azharina Azhar didiagnosis kanser, tangguh pembedahan kerana kerja
PENYANYI Azharina Azhar mengakui didiagnosis menghidap kanser tetapi masih menunggu keputusan laporan kesihatan mengenai jenis kanser yang dihidapinya.
Menurut bintang berusia 39 tahun itu, dia juga perlu menjalani dua pembedahan besar minggu depan, namun memilih untuk menangguhkannya buat sementara waktu kerana komitmen kerja.
“Setakat ini, saya belum boleh kongsi lagi jenis kanser yang dihidapi. Saya sudah menjalani beberapa ujian dan keputusan dijangka keluar dua minggu lagi.
“Saya juga sepatutnya menjalani pembedahan minggu depan tetapi disebabkan komitmen kerja dan proses pemulihan mengambil masa lama, jadi saya buat keputusan untuk tangguhkan dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya bersama Kozae berjudul Realiti di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur.
Tambah penyanyi yang hits menerusi lagu Elergi Sepi dan Rawan itu, kedua-dua pembedahan yang bakal dilakukan adalah mengikut nasihat daripada doktor.
“Saya dinasihatkan membuat pembedahan bariatrik kerana saya ada masalah kencing manis sejak dua tahun lalu dan saya pula suka makan,” jelasnya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah itu mengakui masalah kesihatan yang dialami telah mengganggu aktiviti harian dan emosinya tetapi Azharina memilih untuk berfikiran positif.
Katanya, sebagai manusia biasa, dia juga melalui saat sukar tetapi akan kembali bangkit selepas melepaskan perasaan.
“Saya juga insan biasa, kalau sakit tentulah akan menangis. Biasanya saya akan dengar lagu-lagu galau untuk redakan perasaan.
“Tetapi saya selalu ingatkan perlu positif demi anak-anak dan pekerja. Apa pun yang terjadi hidup tetap perlu diteruskan.
“Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” katanya.
Sebelum in, Azharina mendedahkan disyaki menghidap kanser dalam sebuah podcast bersama Elly Mazlein baru-baru ini.
Jelasnya, penyakit itu juga memberi kesan pada staminanya serta menyebabkan dia mudah kepenatan selain mendatangkan kemurungan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!