Pindaan akta baharu, beri peluang penagih insaf terima rawatan pemulihan

Saifuddin ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Antidadah dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK) 2024 hari ini. - Foto: Bernama
Saifuddin ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Antidadah dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK) 2024 hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 yang akan diperbahaskan di peringkat Parlimen pada persidangan kali ini bakal menjadi 'senjata baharu' kerajaan dalam menangani kumpulan penagih dadah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah meminda akta sedia ada itu bertujuan memberi peluang kepada golongan penagih yang telah mendapat kesedaran untuk menawarkan diri menerima rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Menurutnya, pendekatan baharu yang dilaksanakan dalam pindaan akta baharu itu mahu menjadikan individu terlibat dengan najis dadah perlu didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya sebagai kumpulan penagih yang ditahan di penjara.

Tambahnya, jika langkah melakukan pindaan akta tersebut berjaya, ia akan memudahkan lagi usaha memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuhi banyak karenah birokrasi.

"Pindaan akta itu nanti akan membolehkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menguruskan kumpulan penagih dadah dengan lebih efektif.

"Malah kumpulan pegawai pemulihan AADK juga mempunyai kuasa menentukan penagih dadah menerima proses rawatan dan pemulihan, berbanding sebelum ini yang perlu mendapatkan kelulusan daripada patalogi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup sambutan peringatan Hari Antidadah dan majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Khairul Anwar Bachok.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan mempunyai harapan besar untuk melihat individu terlibat dengan dadah dapat dipulihkan, seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

Menurut beliau, statistik penyalahgunaan dadah dan penagih dadah di Malaysia pada 2023 adalah sekitar 145,000.

Jelas beliau, golongan muda yang berusia 19 hingga 39 tahun terjebak dengan najis dadah sekitar 90,000 orang manakala 40 tahun ke atas sekitar 50,000 orang.

"Jika kumpulan ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan memberi kerugian besar kepada negara.

"Untuk itu, kita berharap anjakan yang mahu dilakukan dalam Akta Penagih Dadah itu akan memberi impak besar dalam menangani masalah dadah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!