Bawa usul subsidi diesel pada persidangan Dewan Negara - Razali

Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Usul berkaitan subsidi diesel terhadap industri pelancongan akan dibawa untuk dibahas pada sesi persidangan Dewan Negara dalam masa terdekat ini.

Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris berkata, usul tersebut bagi membantu meringankan beban pengusaha pelancongan supaya menerima subsidi diesel memandangkan kenaikan harga diesel pada masa ini memberi kesan kepada mereka.

"Ramai orang merungut harga di pulau mahal dan ia mahal sebab harga diesel naik. Di pulau memang 70 peratus penggunaan diesel untuk jana generator di chalet dan hotel.

"Jadi mereka (pengusaha pelancongan dan penduduk pulau) telah hantar memorandum kepada saya supaya meminta kerajaan Pusat turunkan harga diesel kerana kenaikan itu terlalu mendadak.

"Saya akan bawa usul ini ke Dewan Negara dalam masa terdekat ini bagi memastikan pengusaha pelancongan di Semenanjung mendapat subsidi diesel," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 di Dataran Shahbandar di sini pada Rabu.

Razali (tengah) merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024.
Razali (tengah) merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024.

Mengulas lanjut, Razali berkata, setakat ini belum ada subsidi diesel diberikan untuk pelancongan.

"Ia tak sama macam di Sabah dan Sarawak di mana dua negeri itu mendapat subsidi diesel. Jadi saya akan usul perkara mengenai subsidi diesel untuk pelancongan dalam Dewan Negara.

Artikel Berkaitan:

"Itu permintaan daripada pengusaha dan penduduk di pulau yang hantar memorandum kepada supaya kerajaan Pusat teliti semula kenaikan diesel tersebut," jelas beliau.

Sementara itu, Razali yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu berkata, penganjuran program TIBW 2024 boleh membantu usaha kerajaan negeri mencapai sasaran menarik seramai 4.5 juta kedatangan pelancong dan pengunjung ke Terengganu.

Menurutnya, program itu juga dijangka dapat membantu menjana ekonomi serta meningkatkan pendapatan dalam kalangan pemain industri pelancongan termasuk perhotelan, rumah inap desa dan usahawan makanan.

Program TIBW 2024 itu berlangsung selama lima hari bermula Rabu yang bakal menarik seramai 3,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh Malaysia dan pelbagai negara termasuk Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!