Rasuah RM1.6 bilion: Individu kesembilan ditahan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hishamuddin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hishamuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki menjadi individu kesembilan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah projek lebuh raya lebih RM1.6 bilion.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan kira-kira jam 7 malam.

Perintah reman tiga hari sehingga 28 Jun telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, suspek telah meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan kerana melantik syarikat-syarikat terbabit untuk mengambil alih kerja-kerja menyiapkan lebuh raya berkenaan yang sebelum ini dijalankan sebuah syarikat lain.

"Penahanan suspek adalah susulan tangkapan terhadap lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini.

"Mereka dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion," katanya pada Rabu.

Tambah sumber, jumlah rasuah yang membabitkan kesemua suspek masih lagi dalam siasatan.

"Bagaimanapun pembinaan dua projek lebuh raya ini keseluruhannya berjumlah hampir RM11 bilion," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, daripada lapan suspek yang ditahan, tiga iaitu dua lelaki dan seorang wanita membabitkan kakitangan syarikat konsesi, manakala pemilik syarikat itu pula membabitkan lima lelaki yang kesemua berusia sekitar 40 hingga 50-an.

Mereka ditahan dalam Ops Lintas antara jam 8 hingga 11, pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!