Lip Eng minta pindahkan dua Ahli Parlimen MCA ke blok pembangkang

Anthony Loke ketika sesi penggulungan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Anthony Loke ketika sesi penggulungan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak berpuas hati dengan tindakan dua ahli Parlimen MCA yang sengaja tidak mengundi sewaktu undian, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mencadangkan agar kerusi mereka dipindahkan ke blok pembangkang.

Ia susulan kedua-dua wakil rakyat kerajaan itu didakwa tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Tadi dua orang ahli dewan MCA tidak mengundi, jadi saya nak minta Tan Sri (Speaker) menyiasat sama ada mereka ini sengaja boikot atau tidak.

“Kalau betul-betul mereka sengaja tidak mahu mengundi kerajaan, saya minta Tan Sri mempertimbangkan untuk mengalihkan tempat mereka daripada sini (kerajaan) kepada pembangkang,” katanya semasa sesi bahas bagi menyokong Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.

Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang ditubuhkan lapan tahun lalu.

RUU berkenaan diluluskan menerusi undian suara selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Anthony.

Usul undi belah bahagian dikemukakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan disokong lebih 15 ahli Parlimen, selepas Anthony Loke selesai menggulung RUU itu bagi bacaan kali kedua.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya mengumumkan ia diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti, dengan 93 ahli Dewan Rakyat bersetuju manakala 63 tidak bersetuju dan 66 tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!