SAR hari kelapan: Usaha kumpul 500 sukarelawan cari dua lelaki hilang

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

LUMUT - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan mengesan dua lelaki dilaporkan hilang semasa keluar mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis di sini, masih diteruskan.

Kehilangan mangsa, Yahya Harun, 55, dan Azman Mat Jaab, 61, disedari ahli keluarga selepas mereka tidak pulang ke rumah sejak Rabu minggu lalu.

Justeru itu, pihak Masjid Hasaniah Kampung Panchor, Pantai Remis di sini, mengambil inisiatif membantu pihak menyelamat dengan mengumpul kira-kira 500 sukarelawan pada Khamis.

Menerusi jemput yang diedarkan di media sosial, pihak penganjur berhasrat mahu melakukan pencarian pada jarak 10 meter antara sukarelawan tersebut sepanjang lima kilometer arah utara dan selatan dari lokasi mangsa disyaki hilang.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang berminat menyertainya diminta memakai pakaian sesuai, membawa parang atau golok, wisel, tali dan kit kecemasan mini serta berkumpul di masjid tersebut pada jam 8 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihak penganjur ada memaklumkan mengenai usaha mereka mencari kedua-dua mangsa secara besar-besaran itu.

"Operasi SAR mangsa masih diteruskan sehingga hari ini secara berperingkat dan tiada petunjuk diperoleh setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: