Jalan Alam Budiman - Setia Alam dilanda banjir kilat
SHAH ALAM - Banjir kilat melanda Jalan Alam Budiman - Setia Alam sekitar jam 6 petang Rabu menyebabkan laluan itu terhalang dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Nur Aimi memaklumkan, hujan lebat menyebabkan jalan itu ditenggelami banjir dengan pantas.
Menurutnya, situasi tersebut menimbulkan rasa cemas dalam kalangan pengguna kerana antaranya terpaksa berpatah balik.
"Takut tadi semasa lalu jalan ini, air naik dengan cepat. Ikutkan mahu pusing tak mahu redah.
"Kami antara kenderaan akhir yang lalu selain Nissan Navara di belakang kami. Selepas itu, tiada kenderaan yang berani lalu," katanya.
Wanita tersebut turut menasihatkan pengguna untuk tidak mengambil risiko membahayakan diri dengan meredah banjir.
"Dahsyat sangat hujan lebat. Baik hentikan dulu perjalanan. Ada banyak info (diterima) kereta dan motosikal dah tenggelam tak boleh bergerak.
"Kami selamat sampai rumah," katanya.
Kejadian berkenaan turut dikongsikan beberapa pengguna media sosial yang memaparkan situasi di lokasi, termasuk beberapa penunggang motosikal dilihat menolak motosikal dalam keadaan hujan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika dihubungi memaklumkan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang panggilan berhubung kejadian itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!