Rasionalisasi subsidi diesel: Kuskop sedia dengar keluhan usahawan PMKS

Ewon (dua dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di WTCKL pada Rabu.
Ewon (dua dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di WTCKL pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sentiasa mendengar keluhan pemain industri khususnya Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berhubung pelaksanaan program bantuan subsidi diesel melibatkan program Budi Madani.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, setiap masalah dan isu yang timbul akan direkod secara formal untuk dibawa ke mesyuarat kabinet.

“Kita faham ada masalah dan isu yang mungkin timbul, namun jangan risau perkara ini kita akan bawa ke peringkat jemaah menteri untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di WTCKL pada Rabu.

Jelasnya, setiap cadangan dan idea yang diberikan oleh pemain industri akan dibincangkan dan cuba dilaksanakan sebaik mungkin demi kebaikan semua pihak.

“Kita tidak mahu rasionalisasi subsidi diesel ini menjadi masalah, jadi kalau ada cadangan atau aduan boleh maklumkan kepada Kuskop secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan sektor PMKS kepada ekonomi Malaysia dijangka akan terus meningkat dengan adanya intervensi dan bantuan berterusan daripada Kerajaan dalam melonjakkan produktiviti dan meluaskan pasaran perniagaan.

“Peranan PMKS dalam ekonomi tidak boleh dipandang remeh terutamanya usahawan-usahawan Bumiputera, di mana golongan ini sentiasa menjadi perhatian Kerajaan dalam merencana inisiatif pembangunan keusahawanan bagi memastikan kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi yang saksama untuk kesejahteraan rakyat,” katanya

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusof berharap agar subsidi diesel kepada pemain industri dapat dinaikkan kerana 97 peratus yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah usahawan PMKS.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan perlu tambah bantuan subsidi dari RM200 ke RM500, termasuk menambah subsidi yang diberikan menerusi kad fleet diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi 2.0 (SKDS 2.0).

“Kita akur berlakunya RM7 bilion ketirisan minyak diesel dan dengan penyelarasan subsidi ini kerajaan berjaya selamatkan RM4 bilion,namun subsidi itu mesti diberi kepada golongan sasar yang memerlukan,” katanya

Jelasnya, Kebanyakan pengilang-pengilang kecil ini merupakan terdiri daripada usahawan PMKS yang menggunakan kenderaan sendiri untuk menguruskan perniagaan namun disebabkan kenderaan itu tidak didaftarkan di bawah syarikat mereka tidak layak menerima subsidi.

“Berilah kelonggaran kepada usahawan-usahawan kecil ini untuk memperolehi bantuan agar dapat membantu menguruskan perniagaan dengan lebih baik,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!