Tiga ejen judi Euro kena cekup
KUALA LUMPUR - Tiga ejen judi bola sepak Euro dicekup ketika sedang leka membuat pertaruhan dalam serbuan berasingan di Jalan Lima Chan Sow Lin dan Jalan Jejaka 7, di sini pada Isnin dan Rabu.
Tangkapan menerusi Op Soga X dilakukan oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 11.50 malam membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun, manakala serbuan seterusnya pada jam 1.20 pagi menahan dua lelaki berusia 40 dan 44 tahun secara berasingan.
"Tangkapan ini membawa rampasan tiga telefon bimbit.
"Terdapat aplikasi dan perbualan tentang pertaruhan dalam telefon bimbit yang diperiksa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan ejen secara persendirian dan tidak melibatkan sindiket.
Katanya, mereka ini aktif ketika musim perlawanan bola sepak peringkat dunia (Euro).
"Ketiga-tiga mereka dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953," ujarnya.
Justeru, kata Ravindar Singh, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram dan sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!