Jual saham kepada BlackRock gadai prinsip, dasar negara - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk meneruskan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) adalah tindakan tidak bermaruah yang menggadaikan prinsip dan dasar negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia tidak selari dengan prinsip Malaysia yang mendukung perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis.

“Malaysia mempunyai tanggungjawab moral untuk tidak meneruskan penjualan saham MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh BlackRock iaitu syarikat yang menyokong Israel serta menyumbang secara langsung kepada jenayah genosid ke atas rakyat Palestin.

“Alasan Perdana Menteri bahawa ekonomi negara akan terjejas sekiranya Malaysia memutuskan hubungan dengan syarikat berkaitan Israel adalah satu alasan yang jelik, lemah dan memalukan.

“Setahu saya, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku syarikat milik penuh kerajaan yang mengurus dana kekayaan Malaysia memegang mandat untuk membuat pelaburan selari dengan kepentingan ekonomi dan sosial negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan sama tidak boleh diambil bagi syarikat-syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di negara lain buat masa ini bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Khazanah merupakan pihak yang menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel Berkaitan:

“Ia secara jelas meletakkan tanggungjawab kepada pelabur institusi untuk menghormati hak asasi manusia dalam sebarang keputusan pelaburan mereka.

“Bukankah genosid ke atas rakyat Palestin adalah suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang terang, jelas dan nyata? Bukankah alasan ini sahaja Khazanah dan kerajaan sepatutnya membatalkan penjualan saham ini kerana melanggar prinsip tersebut?” soalnya.

Tambah Muhyiddin, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) turut mendesak syarikat-syarikat pengeluar senjata menghentikan penghantaran ke Israel dan institusi kewangan yang melabur termasuk BlackRock sebagai bersekongkol melakukan jenayah.

“Atas alasan ini sahaja kerajaan mempunyai asas yang kukuh. Tidakkah terdetik di hati Perdana Menteri perasaan bersalah dan berdosa kerana bersekongkol dengan pihak berkenaan?

“Ia bukan soal untung dan rugi duniawi sahaja tetapi suatu obligasi moral dan agama untuk memelihara maruah serta nyawa umat Islam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan agar tidak menjadikan penglibatan BlackRock sebagai pengurus dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2021 sebagai alasan untuk menghalalkan penjualan saham tersebut.

“Ada yang kata semasa saya jadi Perdana Menteri, BlackRock terlibat dalam mengurus sejumlah dana KWSP. Oleh kerana tindakan tersebut boleh dibuat pada masa itu, kenapa tidak boleh dibuat sekarang?

“Ini satu alasan yang lemah dan dangkal. Sebagai pengurus dana, tidak ada satu sen pun saham syarikat strategik negara dijual kepada syarikat berkenaan pada masa itu,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!