Pengajaran buat Selangor cuma hukuman terlalu keras

Laporan Sukan Sinar pada Selasa.
Laporan Sukan Sinar pada Selasa.
A
A
A

KEPUTUSAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan hukuman terhadap Selangor FC berikutan tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut trofi Sultan Haji Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Mei lalu disifatkan tepat sebagai pengajaran.

Namun di sebalik itu juga timbul kerelevanan denda RM100,000, pemotongan tiga mata liga, ganti rugi kepada JDT selain beraksi tanpa penonton berdepan Harimau Selatan dalam aksi liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disifatkan terlalu keras.

Itu reaksi penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli selepas MFL menjatuhkan hukuman terhadap juara lapan kali trofi Piala Sumbangsih kendalian Nidzam Jamil berkenaan pada Selasa.

"Yang pertama sekali hukuman dikenakan memang wajar sebagai pengajaran kerana menarik diri pada saat akhir agar tidak hanya pasukan itu, tetapi juga pasukan lain mengulangi perkara sama pada masa depan.

"Biarpun begitu, saya juga melihat hukuman dikenakan MFL terhadap Selangor FC bukannya tidak adil sebaliknya terlalu keras dengan denda RM100,000, di potong tiga mata, ganti rugi kepada JDT dan bermain berdepan JDT tanpa penonton di Petaling Jaya, sekiranya kita mengambilkira sebab-sebab mereka menarik diri dari perlawanan tersebut.

"Satu lagi persoalan apakah hukuman dikenakan berdasarkan garis panduan terdapat dalam pertandingan Liga Bolasepak Malaysia atau semata-mata sebagai peringatan kepada semua pasukan lain," kata Pekan ketika ditemui di Stadium Tertutup Bola Keranjang, Universitas Negeri Surabaya.

Jelas Pekan lagi, hukuman dikenakan pentadbir liga teratas negara itu terhadap The Red Giants itu juga boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga kepada pasukan tersebut.

"Kita juga perlu ingat bahawa Selangor FC bukan dengan sengaja menarik diri dari perlawanan tersebut sebaliknya mereka telah mengambil kira situasi yang berlaku pada masa kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Jika sekiranya diteruskan juga perlawanan dan berlaku sebarang insiden selepas itu, pastinya penyokong-penyokong akan menyalahkan pasukan.

"Dan paling penting di sini ialah penarikan diri Selangor FC mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga melihat aspek keselamatan pasukan serta penyokong-penyokong sebagai keutamaan," katanya.

Sementara itu, Selangor mengambil maklum hukuman tersebut dan sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya selepas didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata bagi saingan liga

The Red Giants dalam satu kenyataan berkata: "Untuk makluman pihak kelab memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak," menurut kelab itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!