Menu sarapan ala Inggeris jadi tumpuan warung English Breakfast

Syed Jamidin dan isterinya, Suhini menunjukkan menu Chicken Toast Slice dan Breakfast Sausages.
Syed Jamidin dan isterinya, Suhini menunjukkan menu Chicken Toast Slice dan Breakfast Sausages.
A
A
A

KUANTAN - Percubaan berani pasangan suami isteri memperkenalkan sarapan ala Inggeris ternyata memberi pulangan berganda apabila mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

Syed Jamidin Syed Husin, 52, berkata, idea untuk menjual beberapa jenis makanan ala barat itu bagi mencipta kelainan kerana tiada lagi peniaga yang menjual makanan sedemikian.

Menurutnya, bertambah menarik apabila hidangan sarapan pagi itu boleh dinikmati di warung English Breakfast yang terletak berhampiran taman perumahan Sungai Karang Damai dekat sini.

"Saya buka perniagaan ini sebab mahu cipta kelainan, kalau hendak buat konsep roti bakar sudah banyak tempat buat.

"Jadi saya fikir mahu buat sarapan yang mudah untuk di masak dan tidak didapati di mana-mana gerai, ternyata ia berbaloi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di warung miliknya di Taman Perumahan Sungai Karang Damai pada Rabu.

Syed Jamidin memasak Beaf Streaky yang ditempah pelanggan di warung English Breakfast di sini pada Rabu.
Syed Jamidin memasak Beaf Streaky yang ditempah pelanggan di warung English Breakfast di sini pada Rabu.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Suhini Saidin, 50, memberitahu warung berkenaan dibuka sebagai mengisi masa lapang selain mencari pendapatan tambahan, setelah mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah hotel tahun lalu.

Katanya, pengalaman bekerja sebagai tukang masak hotel hampir 30 tahun, digunakan sepenuhnya dalam mengendalikan perniagaan makanan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setiap ramuan dan bahan mentah digunakan 100 peratus sebagaimana memasak di hotel, tetapi dijual pada harga marhaen.

"Bukan semua orang mampu pergi hotel dan bukannya kita pergi ke hotel setiap hari.

"Tetapi di warung kami ini, pelanggan boleh menikmati juadah ala Inggeris setiap hari pada harga bermula dari RM5 sehingga RM15,” jelasnya yang membuka perniagaan itu pada November tahun lalu.

Bercerita lanjut, bapa tiga anak itu berkata, terdapat enam jenis menu yang disediakan iaitu Smoked Beaf Streaky, Eggs dan Sausage, Chicken Toast Slice, Breakfast Sausages, French Toast Sausages dan Honey Pancake selain dua jenis minuman iaitu Charcoal Fire Coffee dan Charcoal Fire Tea.

“Menu yang sering menjadi pilihan ramai ialah Smoked Beaf Streaky, selain mengandungi hirisan kepingan daging, kami juga sertakan roti, lempeng kentang racik, kacang panggang, tomato panggang dan telur hancur.

Pelanggan tempatan turut mengambil peluang untuk menikmati sarapan pagi ala Inggeris di warung milik Syed Jamidin.
Pelanggan tempatan turut mengambil peluang untuk menikmati sarapan pagi ala Inggeris di warung milik Syed Jamidin.

“Selain itu, Honey Pancake mendapat permintaan terutamanya daripada kalangan pelanggan cilik,” katanya yang merangka untuk menambah menu sarapan dan makan tengah hari pada masa akan datang.

Menurut Syed Jamidin, selain penduduk sekitar yang datang ke warungnya terdapat juga pelanggan dari luar kawasan Sungai Karang.

“Penduduk sekitar kebanyakannya sudah menjadi pelanggan tetap kami dan kami sudah tahu menu yang disediakan sudah menjadi kebiasaan mereka.

"Kalau pelanggan dari luar kebiasaannya ramai ketika hujung minggu dan cuti umum,” katanya yang membuka operasi warungnya setiap hari bermula jam 7 sehingga jam 11 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!