Suri rumah terlantar hidap kanser usus tahap empat

Rosna banyak membantu menguruskan Nur Hazirah yang kini terlantar akibat kanser usus.
Rosna banyak membantu menguruskan Nur Hazirah yang kini terlantar akibat kanser usus.
A
A
A

LIPIS - Seorang suri rumah di Kampung Binjai di sini, berdepan dugaan berat apabila disahkan menghidap kanser usus tahap empat pada Mac lalu.

Nur Hazirah Mohd Azmi, 30, kini hanya terlantar selepas bahagian perutnya ditebuk untuk pemakaian beg stoma selain turut cepat berasa penat dan letih.

Menurutnya, selain perlu memikirkan penyakitnya, dua anaknya, Muhammad Zahin Hafizhan Zulkefli, 8, dan Muhammad Ziyad Hafiy, 7, juga merupakan autisme membuatkan dirinya buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga.

"Sebelum ini, saya sering pitam kerana kekurangan darah dalam badan.

"Jadi doktor nasihatkan untuk tambah darah di Hospital Kuala Lipis. Namun apabila kerap sangat terjadi sekali lagi doktor meminta untuk saya membuat pemeriksaan lanjut," katanya.

Jelas Nur Hazirah, hasil daripada pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) doktor sahkan dia menghidap kanser usus.

Katanya, sel kanser itu telah merebak ke organ dalaman lain termasuk hati, paru-paru dan tulang.

Tambah Nur Hazirah, pendapatan suaminya, Zulkefli Johari, 33, yang bekerja sebagai penyelia ladang di Merapoh tidak mencukupi untuk menyara keluarga dan kos rawatan penyakitnya.

Artikel Berkaitan:

Rosna bahagian perut Nur Hazirah yang ditebuk untuk pemakaian beg stoma.
Rosna bahagian perut Nur Hazirah yang ditebuk untuk pemakaian beg stoma.

"Dua anak saya, Muhammad Zahin dan Muhammad Ziyad masih memakai lampin pakai buang kerana mereka tidak mampu menguruskan diri.

"Suami terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM1,500 untuk membeli pampers dan susu anak termasuk untuk anak bongsu, Muhammad Ziqri Hakim, 2," katanya.

Dalam pada itu, menambahkan kerunsingan dirinya apabila Muhammad Zahin turut disahkan menghidap penyakit hemofilia yang menyebabkan perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk Muhammad Zahin meringankan sedikit beban keluarga.

"Saya bersyukur kerana ibu (Rosna Ab Razak, 56) dan ahli keluarga lain banyak membantu menguruskan tiga anak ketika suami bekerja," kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun 156114356703 (Maybank) atas nama Nur Nazirah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!