Tolak tepi isu kelayakan, fokus mengenai rakyat

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin (kanan) dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail (kiri).
Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin (kanan) dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail (kiri).
A
A
A

BERBAKI beberapa hari lagi sebelum pengundian pada 6 Julai depan, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dilihat semakin hangat dengan pelbagai isu yang dibangkitkan.

Antara isu yang menjadi topik adalah mengenai kelayakan atau latar belakang pendidikan calon masing-masing.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin menjadi kekuatan kepada parti gabungan tersebut memandangkan beliau mempunyai pendidikan tinggi sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Bagaimanapun, menurut calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, beliau tidak terkesan dengan isu kelayakan akademik yang dimainkan pihak lawan termasuk membandingkan dirinya dengan Joohari.

Persoalannya, sampai bilakah isu mengenai kelayakan ini perlu diperkatakan sepanjang masa?

Ini kerana, isu tersebut bukan hanya dibangkitkan ketika kempen PRK Sungai Bakap sahaja, namun turut dimainkan ketika PRK Kuala Kubu Baharu yang lepas.

Tidak dapat dinafikan bahawa isu-isu yang diketengahkan oleh kedua-dua calon untuk memastikan undi berpihak kepada mereka dan seterusnya memenangi kawasan tersebut.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kedua-dua calon mempunyai potensi untuk menang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia berikutan sejarah politik di kawasan tersebut memperlihatkan kerusi itu bersifat terbuka dan bukan status quo kerana pernah dimenangi pelbagai parti politik.

Justeru itu, bagi penulis, ia tidak wajar dijadikan isu utama atau kemelut sepanjang kempen kerana masyarakat memerlukan keyakinan daripada wakil rakyat untuk membawa perubahan atau kemajuan terhadap kawasan berkenaan.

Mungkin antara isu yang boleh dibangkit dan diketengahkan oleh calon bertanding seperti peningkatan kemudahan infrastruktur dan asas, penjanaan pendapatan penduduk, masalah jalan atau mengenai pembangunan.

Apa pun, diharapkan calon yang menang pilihan raya itu nanti mampu membawa perubahan kepada kawasan berkenaan dan bukan hanya berjanji kosong ketika kempen.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.