Indonesia ujian pertama skuad futsal di AUG 2024
SKUAD futsal negara hadir ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024, Indonesia dengan tekad membawa pulang pingat biarpun tuan rumah dan Thailand diperkuatkan nama besar masing-masing.
Malah pengurus pasukan, Mohammad Ezuan Othman percaya berdepan pasukan tuan rumah, Indonesia merupakan pentas terbaik anak buahnya menjelmakan keputusan positif.
"Kita sudah menjalani latihan sejak Januari lalu dan pada masa sama turut beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan (MPFL). Selain itu, kita juga ada 10 pemain yang beraksi dalam Divisyen Dua dan empat di Divisyen Satu.
"Di Surabaya-Malang 2024, pencabar terkuat sudah tentu Thailand dan Indonesia kerana mereka senaraikan pemain-pemain kebangsaan ke sini. Indonesia ada empat atau lima pemain kebangsaan sementara Thailand dua pemain.
"Bagaimanapun, kita tetap optimis untuk sekurang-kurangnya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Tidak pasti sama dengan Thailand atau Indonesia jumpa di final, asalkan kami optimis dan yakin," katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A membuka gelanggang pada Khamis berdepan tuan rumah di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya yang menewaskan Myanmar, 6-1 dalam perlawanan awal.
Sementara itu, mengulas pertemuan menentang Malaysia, pengendali skuad futsal Indonesia, Deni Setiabudi berkata, pasukannya sudah bersedia berdepan Malaysia setelah mempelajari gaya permainan skuad negeri jiran tertangga tersebut.
“Kami juga sudah menyaksikan video permainan Malaysia di Youtube, mempelajari masalah pertahanan dan offensive mereka,” katanya.
Edisi Ubon Ratchathani 2022, Thailand meraih pingat emas, Vietnam perak, manakala Malaysia ketiga.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!