[VIDEO] Badan Peguam gagal mohon cabar henti kes rasuah Ahmad Zahid

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi ditolak Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah itu.

Selain itu, badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.

Selain itu, mahkamah menolak permohonan Badan Peguam selaku pemohon kes Zahid untuk merujuk tiga persoalan perlembagaan berhubung perkara yang berkaitan, untuk diputuskan ke Mahkamah Persekutuan.

Semasa membaca keputusan, Hakim ini berkata, mahkamah menolak permohonan terbabit kerana ia tidak memenuhi keperluan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

"Keputusan Peguam Negara (AG) dalam perkara terbabit juga tidak boleh dibawa untuk didengar dan diputuskan melalui prosiding semakan kehakiman.

"AG tidak mempunyai kewajipan membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butiran yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA (melepas tanpa membebaskan) terhadap Ahmad Zahid, seperti dituntut pemohon," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amarjeet turut mengarahkan Badan Peguam membayar RM10,000 sebagai kos kepada Peguam Negara.

Dalam prosiding ini, peguam, Steven Thiru hadir bagi pihak Badan Peguam manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili AG dan peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.

Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden.

Ia memohon perintah certiorari supaya keputusan Peguam Negara memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid pada 4 September lalu dibatalkan.

Badan Peguam turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama itu.

Pada 4 September tahun sama, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadapnya untuk meneliti bukti baharu.