[VIDEO] Pekerja kilang didakwa lagi miliki bahan berkaitan kumpulan Daesh

A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu memiliki artikel dan bahan bacaan berkaitan kumpulan Daesh.

Tertuduh, Suhaini Sarwan, 46, menjawab faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hassan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Suhaini berikutan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel-artikel berkaitan kumpulan Daesh serta perbuatan berkaitan pengganas dalam komputer riba miliknya di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, 30 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati memiliki bahan bacaan melibatkan lima buku berkaitan kumpulan Daesh dan perbuatan berkaitan pengganas di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, 30 Mei lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) Kanun yang sama.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh, Suhaini Sarwan (dua dari kanan) diiringi polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Khamis.
Tertuduh, Suhaini Sarwan (dua dari kanan) diiringi polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Khamis.

Jika disabitkan kesalahan, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan tidak melebihi tujuh tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan berikutan KES berkenaan selaras dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Julai hadapan untuk keputusan permohonan pemindahan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Suhaini dan suaminya telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru Selasa lalu, atas lima pertuduhan berasingan iaitu menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan Daesh bulan lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!