‘Kenapa DAP hanya pertikai dua Ahli Parlimen MCA?’- Ka Siong

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Ka Siong (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Ka Siong (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menempelak kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mencadangkan agar kerusi mereka dipindahkan ke blok pembangkang.

Ia susulan kedua-dua wakil rakyat kerajaan itu didakwa tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, cadangan tersebut adalah tidak adil kerana terdapat 66 ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir sewaktu undian itu berlaku di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, antara ahli Parlimen yang tidak hadir termasuk Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen ⁠Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Mengikut logik Lip Eng, jika dua ahli Parlimen daripada MCA perlu dipindahkan ke blok pembangkang, maka adakah tempat duduk mereka yang tidak mengundi semalam antaranya termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Nga Kor Ming dan Chow Kuan Yow dari DAP perlu dipindahkan?

“Adakah Ahli Parlimen Kepong daripada DAP ini nak kata mereka ini juga boikot atau khianat terhadap RUU yang dibentangkan oleh kerajaan?

“Seramai 66 orang ahli Parlimen tidak hadir untuk mengundi? Mengapa DAP hanya pertikai dua orang ahli Parlimen daripada MCA sahaja?” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Lip Eng tidak berpuas hati dengan tindakan dua Ahli Parlimen MCA yang sengaja tidak mengundi sewaktu undian dan susulan kejadian itu beliau mencadangkan agar kerusi mereka dipindahkan ke blok pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang ditubuhkan lapan tahun lalu dan RUU berkenaan diluluskan menerusi undian suara selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Anthony.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Lip Eng perlu berfikir secara rasional dan bukan mengikut emosi semata-mata.

“Sebelum bercakap fikirlah dulu dengan waras. Jangan sampai nanti orang kata beliau ini seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!