BRICS: Malaysia mahu pastikan tiada kuasa besar tunggal kuasai ekonomi dunia

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Rancangan kerajaan untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) menjadi landasan untuk memastikan tiada kuasa besar tunggal yang menguasai ekonomi dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BRICS merupakan gabungan yang tepat untuk negara-negara besar bersama membangun daripada sudut ekonomi.

“BRICS merupakan satu asas landasan untuk kita lihat bahawa dunia ini jangan terlalu condong diurus oleh satu pihak sahaja.

“Ia satu gabungan negara besar, kita nak supaya dengan memasuki blok longgar, boleh bawa suara Malaysia, suara dunia.

"Perkara seperti ini yang kita mahu lakukan supaya Malaysia boleh bersuara di banyak pentas dunia,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, dunia kini dilihat memasuki era perang dingin dan negara besar secara tidak langsung mahu menilai pihak yang akan menyebelahinya menerusi kuasa atau pengaruh.

Justeru, Mohamad menegaskan, cadangan penyertaan dalam BRICS kerana melihat kuasa yang longgar selain tidak melibatkan isu pertahanan dan keselamatan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia sedang memulakan prosedur rasmi untuk menyertai BRICS.

Artikel Berkaitan:

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!