2.93 juta ahli KWSP buat pengeluaran Akaun Fleksibel hampir RM7 bilion

Seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel melibatkan amaun sebanyak RM6.98 bilion. Gambar hiasan.
Seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel melibatkan amaun sebanyak RM6.98 bilion. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel melibatkan amaun sebanyak RM6.98 bilion.

Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, daripada jumlah tersebut, purata pengeluaran adalah sebanyak RM2,382.

“Setakat 10 Jun, sebanyak RM10.68 bilion amaun pemindahan dilakukan sebagai pilihan ahli bagi mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel.

“Pada masa sama, sejumlah RM4.82 bilion juga telah dipindahkan ke Akaun Persaraan ahli. Inisiatif ini menunjukkan impak positif apabila berjaya menunjukkan peningkatan seramai 39,000 ahli yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000,” katanya.

Kenyataan tersebut sebagai jawapan kepada pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduk (PN - Parit Buntar) mengenai insentif atau bantuan kepada ahli yang memilih untuk memindahkan baki daripada Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel.

Menurut kementerian tersebut, pada masa ini tiada sebarang insentif atau bantuan tambahan diberikan kepada ahli yang memilih untuk mempunyai amaun permulaan iaitu dengan membuat pindahan sebahagian simpanan dalam Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

“Tujuan utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP dibuat adalah untuk memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan yang lebih mapan dan pada masa yang sama mengimbangi keperluan semasa ahli.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka mempunyai pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!