RUU Pindaan Akta 50 selesai kemelut parallel pathway, sarjana perubatan
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan menjadi titik noktah kepada kemelut pendaftaran doktor perubatan yang memperoleh kelayakan kepakaran melalui laluan program laluan Parallel (parallel pathway) dan program Sarjana Perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dokumen naskhah biru berkenaan akan dibentangkan akhir minggu ketiga dan dijangka dibahaskan pada minggu keempat persidangan Dewan Rakyat, Julai depan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, semua ketidakaturan yang terkait dengan program parallel pathway dan program Sarjana Perubatan akan selesai dengan pindaan RUU tersebut.
"Ke depan nanti, keteraturan Sarjana Perubatan bersekali dengan program parallel pathway akan dapat kita tentukan dan luluskan.
“Dengan itu, kualiti dan kuantiti latihan kardiotorasik, bahkan 120 program sarjana dan 14 program parallel pathway akan dapat diletakkan keteraturan kepada yang tidak teratur sebelum ini," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Yunus bin Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung perbezaan program latihan kepakaran daripada universiti tempatan dan program latihan kepakaran luar negara (parallel pathway).
Sebelum ini timbul beberapa isu selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraksik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh tidak diiktiraf selepas penguatkuasaan pindaan Akta Perubatan mulai 2017.
Antara penyelesaian yang dicadangkan termasuk menempatkan empat pakar berkenaan diterima melalui latihan khusus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai universiti pertama menawarkan program kepakaran perubatan dalam bidang pembedahan kardiotorasik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!