Perhimpunan aman di Putrajaya tidak dapat kelulusan tuan tanah - Polis

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan perhimpunan aman yang akan dianjurkan di hadapan Kompleks Sri Perdana, Putrajaya pada petang Sabtu ini tidak mendapatkan kebenaran pemilik tanah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Perbadanan Putrajaya yang merupakan pemilik lokasi bagi penganjuran perhimpunan tersebut tidak meluluskan kawasan itu digunakan bagi tujuan perhimpunan bertajuk 'Kegagalan Pemerintah'.

Beliau berkata, perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di tempat letak kereta awam pada jam 4 petang itu disifatkan oleh pemilik sebagai tidak bersesuaian.

"Antara syarat kelulusan penganjuran perhimpunan aman adalah perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tanah.

"Oleh yang demikian, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak menghadiri perhimpunan ini kerana ia tidak mendapat kelulusan.

"PDRM juga menasihatkan agar perhimpunan ini tidak diteruskan bagi menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan Perbadanan Putrajaya," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, PDRM menerima satu surat pemberitahuan daripada pihak penganjur perhimpunan pada 14 Jun lalu.

Kata beliau, pihaknya juga mengesan satu video tular berdurasi tiga minit 41 saat yang mengajak orang ramai hadir perhimpunan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ekoran video tular itu, katanya, PDRM menerima 85 laporan polis daripada orang ramai.

Menurut beliau, penganjur perhimpunan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Demi Negara' pernah menganjurkan acara sama di Selangor sebelum ini.

"Pihak polis telah menasihati pihak penganjur untuk tidak meneruskan perhimpunan ini memandangkan ia tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah.

"Selain itu, lokasi penganjuran juga tidak sesuai untuk dijadikan perhimpunan," ujarnya.

Untuk itu menurutnya, PDRM akan melaksanakan beberapa langkah serta tindakan wajar berhubung penganjuran perhimpunan aman itu termasuk kawalan keselamatan dan proses menyurai orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!