Kastam rampas air zamzam dalam gudang di Shah Alam

Norlela (tengah) menunjukkan rampasan air zamzam dalam serbuan di sebuah gudang di Shah Alam, Mei lalu.
Norlela (tengah) menunjukkan rampasan air zamzam dalam serbuan di sebuah gudang di Shah Alam, Mei lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 937 botol bersaiz lima liter disyaki mengandungi air zamzam bernilai RM117,200 di sebuah gudang di Shah Alam, bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II pada 21 Mei.

Menurutnya, semasa pemeriksaan, wakil pengurus gudang terbabit berusia 44 tahun gagal mengemukakan dokumen pengimportan.

"JKDM bertindak merampas 4,685 liter disyaki air zamzam dengan nilai dagangan RM93,700 membabitkan cukai RM23,500.

"Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti barangan itu diimport dari mana dan kita percaya untuk pasaran tempatan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Khamis.

Beliau berkata, minuman itu dipercayai dijual semula dengan harga RM120 bagi setiap lima liter.

Tambah Norlela, siasatan juga masih dijalankan sama ada kandungan itu tulen air zamzam dengan menghantar sampel ke Jabatan Kimia bagi pengesahan.

"Rampasan tersebut juga tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Ada kes kita pernah serbu sebelum ini pembungkusan di kilang tempatan dan ia bukan air zamzam tulen," ujarnya.

Tegasnya, air zamzam atau mineral adalah barang larangan dan pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 35, Bahagian 1, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Dalam kes berlainan, JKDM merampas 2,816 keping jubin bernilai RM40,100 susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Klang pada 4 Jun lalu.

"Jubin yang diimport dari negara Asia Utara itu tidak mempunyai sijil kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!