'Solat hajat sahaja tidak cukup tangani masalah mental' - Dr Hafidzah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Hafidzah
Gambar hiasan. Gambar kecil: Hafidzah
A
A
A

KOTA BHARU - Solat hajat sahaja tidak mencukupi dalam usaha menangani masalah mental dan perlu ada usaha lain untuk membantu golongan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Mental antara usaha difikirkan mampu membantu membanteras penyakit mental dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Menurut Dr Hafidzah, kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif dengan melibatkan agensi penting termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), polis dan bomba.

"Menangani individu masalah mental tidak cukup dengan solat hajat sahaja kerana masih ada langkah-langkah lain yang perlu dilakukan bagi membantu golongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Kesihatan Mental: Penyakit Mental VS Gangguan Jin? di sini pada Khamis.

Dr Hafidzah (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta cabutan bertuah sempena Program Kesedaran Kesihatan Mental: Penyakit Mental VS Gangguan Jin?
Dr Hafidzah (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta cabutan bertuah sempena Program Kesedaran Kesihatan Mental: Penyakit Mental VS Gangguan Jin?

Beliau memberitahu, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu golongan terdesak itu termasuk mempamerkan nombor yang boleh dihubungi dan memasang mesej kasih sayang di lokasi sesuai.

"Jika ada jawatankuasa kita akan nampak masalah yang dihadapi mungkin membabitkan keluarga, kewangan atau pengangguran iaitu antara punca utama kemurungan atau mental.

Artikel Berkaitan:

"Tunjukkan seriusnya kerajaan untuk tangani masalah ini. Saya nampak ada jalan penyelesaian dan kami di peringkat DUN melihat keupayaan kita memberi advokasi kepada rakyat," katanya.

Program Kesedaran Kesihatan Mental: Penyakit Mental VS Gangguan Jin? yang dianjurkan bersama Jabatan Psikiatri Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Perubatan Psikologi dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Kota Lama.

Program bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kaedah menangani penyakit mental sehingga menjejaskan kewarasan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!