Pencemaran udara Pasir Gudang: Mahkamah perintah denda naik kepada RM640,000

Pengarah P Tech Resources Sdn Bhd, Yap Yoke Liang (tengah) turut hadir mengikuti prosiding bersama peguam, Subramaniam Nair di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis.
Pengarah P Tech Resources Sdn Bhd, Yap Yoke Liang (tengah) turut hadir mengikuti prosiding bersama peguam, Subramaniam Nair di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memutuskan hukuman denda terhadap responden pencemaran udara Pasir Gudang dinaikkan daripada RM40,000 kepada RM80,000 bagi setiap pertuduhan.

Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd diperintahkan membayar denda berjumlah RM640,000 membabitkan lapan pertuduhan pilihan berbentuk kesalahan pentadbiran.

Ia termasuk kesalahan gagal menjalankan pemantauan berkala, gagal memastikan sistem kawalan pencemaran udara diselia pihak berwibawa selain gagal melengkapkan premis dengan peralatan bagi memantau prestasi sistem kawalan pencemaran udara.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuatkan keputusan itu ketika prosiding rayuan meningkatkan hukuman selepas meneliti semua rekod rayuan dan menghalusi hujahan lisan serta bertulis pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah berpendapat sebaik pendakwaan menawarkan lapan pertuduhan pilihan ke atas responden membabitkan kesalahan pencemaran udara, pendakwaan tidak boleh bergantung kepada keterangan semasa perbicaraan berkaitan pertuduhan asal yang membabitkan pembuangan enapan ke dalam Sungai Kim Kim.

"Pendakwaan tidak boleh bergantung kepada pengakuan bersalah pemandu lori, N Maridass bagi mengaitkan responden dengan kesalahan asal membabitkan pencemaran Sungai Kim Kim.

"Ini kerana fakta kes tidak menyatakan Maridass melepaskan buangan terjadual yang terhasil dari proses pyrolisis tayar-tayar lama daripada kilang responden.

"Hakim Mahkamah Sesyen ketika menjatuhkan hukuman ke atas responden tidak dipengaruhi liputan media massa yang menyiarkan pencemaran Sungai Kim Kim.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, tindakan pihak pendakwaan yang merujuk petikan akhbar bagi memohon denda maksimum tidak boleh dipertimbangkan kerana keratan akhbar sekadar 'hear say'.

"Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya gagal menghayati tujuan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. Sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak melakukan pemeriksaan ke atas premis kilang responden, kesalahan ini akan berlaku secara berterusan dan ia akan mendatangkan pencemaran udara yang teruk kepada penduduk," katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata, Hakim Mahkamah Sesyen turut gagal menimbangkan kekerapan kes pencemaran udara yang berlaku di Johor selain gagal mengambil notis penghakiman ketika menjatuhkan hukuman denda terhadap responden.

"Berdasarkan alasan-alasan diperincikan, Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan pilihan membabitkan pencemaran udara.

"Mahkamah ini menaikkan hukuman denda RM40,000 kepada RM80,000 bagi setiap kes dan dengan ini rayuan responden/syarikat atas hukuman, ditolak," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreen Mamat dan Nurliyana R Azmi manakala syarikat P Tech Resources Sdn Bhd selaku responden pula diwakili oleh peguam, N Subramaniam dan S Selvantheran.

Pada 30 November tahun lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim pada 2019.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dilapor memaklumkan bahawa N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS turut memaklumkan bahawa syarikat P Tech Resources Sdn Bhd yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 pula didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan denda berjumlah RM320,000.

Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 B(4) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000, jika sabit kesalahan.

Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibaca bersama Seksyen 42 akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 34 B(4) turut membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Disember tahun lalu, JAS memfailkan rayuan terhadap hukuman dijatuhkan dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim itu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, dilaporkan berkata ia susulan rayuan Kerajaan Johor dan juga kekecewaan mangsa terjejas dalam insiden pencemaran sisa toksik itu yang menyifatkan hukuman itu sebagai tidak setimpal dengan penderitaan mereka.

Kejadian pencemaran pada 13 Mac 2019 itu dilapor menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.

Insiden dipercayai susulan pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 itu mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!