Skim Takaful Tanaman Padi bakal beri pampasan lebih tinggi

Mohamad (dua kiri) menyampaikan replika cek bantuan wang ihsan kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pada program MADA Day 2024 di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini, pada Khamis.
Mohamad (dua kiri) menyampaikan replika cek bantuan wang ihsan kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pada program MADA Day 2024 di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) bagi mempertingkatkan kaedah Tabung Bencana Tanaman Padi sedia ada dengan jumlah pampasan lebih tinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, skim yang lebih komprehensif itu akan diperkenalkan bagi menggantikan Tabung Bencana Tanaman Padi.

Beliau memaklumkan, skim terbabit membolehkan pemberian jumlah pampasan lebih tinggi sehingga RM3,000 bagi setiap hektar semusim berbanding maksimum RM1,800 bagi setiap hektar semusim.

"Skim ini sedang diperhalusi di peringkat Bank Negara Malaysia menerusi Bank Pertanian Malaysia (Agro Bank) sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

"Bagi Kawasan Muda, KPKM menjangka skim dapat dimanfaatkan seluruh pesawah MADA pada musim 2/2024 selepas skim ini dilancarkan pada bulan September 2024 bersempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024,"katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas merasmikan program MADA Day 2024 anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, perlaksanaan skim terbabit membolehkan nasib pesawah lebih terjamin apabila berlaku sesuatu bencana.

"Dengan skim yang baharu ini, (sekiranya berlaku) bencana itu ertinya dia (pesawah) boleh dapat (pampasan) dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kongsi beliau lagi, pendaftaran skim takaful boleh dilakukan secara dalam talian berbanding manual, sekali gus membolehkan bantuan lebih cepat dan terjamin.

Sehubungan itu, katanya, semua pesawah memerlukan skim takaful itu memandangkan bencana boleh berlaku pada bila-bila masa disebabkan perubahan cuaca.

Dalam perkembangan sama, Mohamad memaklumkan, KPKM telah meluluskan peruntukan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM3.28 juta kepada 2,546 peladang MADA yang terkesan dan terjejas akibat bencana banjir di Kawasan Muda pada bulan Ogos dan September 2023 yang lalu melibatkan keluasan kerosakan seluas 3,276.40 hektar.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan bantuan, sejumlah RM59,544 diperuntukkan kepada 35 peladang di kawasan MADA Wilayah I Perlis dan RM705,912.70 kepada 566 peladang di kawasan Wilayah II Jitra.

Tambah Mohamad, sebanyak RM1,807,934.15 diperuntukkan kepada 1,156 peladang di kawasan MADA Wilayah III Pendang, manakala sebanyak RM715,415.85 melibatkan 789 peladang di Kawasan Wilayah IV, Kota Sarang Semut.

Ujarnya lagi, kerajaan telah memperuntukkan wang ihsan melalui KPKM kepada MADA bagi meringankan beban ditanggung pesawah MADA dan memberikan suntikan modal kepada mereka bagi aktiviti penanaman padi Musim 1/2024 bermula pada 17 April 2024.

Beliau turut menyeru kepada seluruh peladang-peladang di Kawasan Muda agar mematuhi Jadual Penanaman Padi Musim 1/2024 bagi mengelakkan berlakunya pembaziran air.

Sebelum itu, Program MADA Day selama tiga hari bermula 27 Jun dilaksanakan bersempena Ulang tahun Penubuhan MADA Ke-54 menyediakan platform bagi menggalakkan penyertaan kepada ahli-ahli peladang, peserta MASPRO, usahawan-usahawan serta warga MADA untuk berinteraksi serta bertukar-tukar pandangan, ilmu pengurusan berkaitan mekanisasi yang efisien dan percambahan idea baharu bagi melestarikan rantaian nilai tanaman padi dan industri makanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!