Warga Amerika Latin dalang pecah rumah mewah, curi barang RM7 juta ditahan

Rusdi (tengah) menunjukkan barangan kemas yang berjaya dirampas kembali oleh pihak polis setelah menangkap suspek pecah rumah milik seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu.
Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Rusdi (tengah) menunjukkan barangan kemas yang berjaya dirampas kembali oleh pihak polis setelah menangkap suspek pecah rumah milik seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh suspek dan seorang lagi individu yang masih berada di negara jiran merupakan kumpulan penjenayah pecah rumah yang berjaya ditahan pihak polis ekoran kerugian bernilai RM7 juta pada 31 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, empat daripada yang ditahan tersebut termasuk seorang wanita warganegara akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah tersebut terdiri daripada tiga lelaki warga Amerika Latin, dua warga asing yang tidak dapat dikenal pasti, dua wanita tempatan serta seorang lagi lelaki warga Amerika Latin yang masih berada di Thailand.

"Lima daripada mereka termasuk seorang wanita tempatan yang membeli barangan curi itu akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok (Jumaat).

"Pertuduhan itu turut melibatkan seorang lagi suspek lelaki warga Amerika Latin yang masih berada di Thailand.

"Lelaki warga Amerika Latin itu sudah berjaya ditangkap dan proses membawa balik suspek sedang dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Pada 31 Mei lalu jam 11.34 malam, polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan menyatakan rumahnya di Bukit Damansara, di sini dipecah masuk dan mengalami kerugian berjumlah RM7 juta.

Kejadian disedari mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan setelah pulang dari keluar makan jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, susulan empat siri tangkapan dibuat pada Jun, pihaknya berjaya merampas kembali barangan dicuri seperti jam tangan, beg serta barang kemas yang dianggarkan bernilai RM4.4 juta.

Kata beliau, rampasan itu melibatkan barangan kemas bernilai RM2.5 juta, sejumlah 30 utas koleksi jam tangan serta wang tunai berjumlah RM4,450.

Ditanya bagaimana kumpulan penjenayah tersebut berjaya dikesan, beliau berkata, ia hasil daripada siasatan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) daripada rumah jiran mangsa.

Katanya, modus operandi digunakan oleh kumpulan penjenayah itu adalah menyasarkan kediaman mewah dan mematikan semua penggera serta CCTV.

Selain itu katanya, kumpulan penjenayah menggunakan kereta sewa jenis Perodua Myvi dan plat pendaftaran palsu.

"Kita percaya mereka ini adalah kumpulan penjenayah profesional berdasarkan tindakan menyamun dilakukan dengan pantas.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 30 hingga 40 tahun tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing dilakukan adalah negatif," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!